SELANGOR

Richie Rachman terharu terima sumbangan Aidilfitri Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 22 MEI: Bekas pengamal media, Kamarudin Abdul Rahman melahirkan rasa gembira dan terharu apabila menjadi salah seorang penerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Selangor, hari ini.

Kamarudin, 60, atau lebih dikenali sebagai Richie Rachman berkata, dia tidak menjangka individu sepertinya dihargai oleh kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Saya sudah menetap di Ampang lebih 30 tahun dan alhamdulillah seronok menerima sumbangan sebegini, tambahan pula Aidilfitri bakal menjelang tak lama lagi.

“Pada saya, program sebegini sememangnya mendekatkan rakyat dan pemimpin,” katanya kepada SelangorKini yang ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa di Masjid Al-Mustaqim, Taman Dagang, di sini.

Beliau yang pernah bergiat aktif dalam dunia hiburan berkata, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membuat rumah terbuka secara kecil-kecilan.

“Saya memang suka raikan tetamu, bila ada duit tambahan ini saya akan berkongsi dengan rakan-rakan dan insyaAllah rezeki kita akan bertambah luas,” katanya

Sementara itu, bagi Siti Ashah Basri, 68, beliau mahu menggunakan sumbangan terbabit untuk membeli persiapan Aidilfitri.

Dia yang hadir dengan berkerusi roda begitu seronok kerana pertama kali menerima sumbangan itu.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri ingat orang seperti makcik, sekurang-kurangnya dengan duit yang ada ini bolehlah membeli lauk pauk juga,” katanya.

Sumbangan diserahkan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Soffan Affendi Aminudin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato’ Abd Hamid Hussain.

Kira-kira 500 penduduk menerima sumbangan wang tunai RM500 dan barangan dapur bernilai RM150.


Pengarang :