SELANGOR

SSDU: Smart Selangor Parking di MPSJ mula digunakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Penduduk di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah boleh mula menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bermula Rabu lalu.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam kenyataan memaklumkan, MPSJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ke tujuh menggunakan aplikasi berkenaan.

Katanya, aplikasi SSP dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi SSDU itu adalah sebuah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi secara atas talian yang seragam merentasi PBT negeri.

“Aplikasi ini turut disertakan dengan fungsi tambahan yang lain seperti peringatan tempoh tamat waktu meletak kenderaan, perkongsian kredit antara pengguna dan pendaftaran sehingga enam nombor kenderaan berbeza.

“Bagi transaksi pembelian kredit, beberapa saluran atas talian disediakan untuk memudahkan pengguna seperti perbankan atas talian, kad kredit dan juga e-dompet,” katanya.

Pada masa sama, SSDU berkata, aplikasi SSP itu turut membolehkan proses pemantauan dan penguatkuasaan oleh PBT khususnya kesalahan salah laku dan pembayaran parkir.

Terdahulu, aplikasi itu adalah satu inisiatif Smart Selangor yang dibangunkan di bawah domain “Smart Transport and Mobility”.

Ia sekali gus menyasarkan objektif untuk mendidik rakyat Selangor ke arah penggunaan teknologi pintar bagi kemudahan urusan yang membabitkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Ia juga mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk terus menyediakan kemudahan terbaik seiring dengan agenda menuju ke arah Smart State menjelang 2025,” katanya.

Sehingga kini, aplikasi Smart Selangor Parking juga boleh digunakan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Turut digunakan di Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.


Pengarang :