SELANGOR

Tengku Permaisuri berbasikal nikmati keindahan sawah padi

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengayuh basikal sambil menikmati keindahan sawah padi dalam Lawatan Mesra baginda ke Sekinchan, hari ini.

Baginda berbasikal dalam perjalanan berangkat ke kilang memproses padi yang terbesar di Sekinchan, PLS Marketing Sdn Bhd.

Baginda tiba sekitar jam 10.30 pagi bersama rombongan Istana kira-kira sejauh 500 meter dari Ah Ma House, sebuah kedai pembuatan kuih tradisional terkenal di kawasan itu.

Turut mengiringi keberangkatan baginda adalah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Negeri (DNS) Selangor, Ng Suee Lim.

Sementara itu, di kilang terbabit, baginda mencemar duli mendengar taklimat berkaitan pemprosesan padi sambil menonton tayangan padi dihasilkan sehingga menjadi beras.

Baginda turut mencemar duli melawat dan merasai aneka makanan di kilang itu antaranya keropok beras, mangga king, cendol santan kelapa sawit, air kedondong asam boi dan aneka kerepek.

Selain itu, baginda juga mencemar duli bergambar secara tidak rasmi di kawasan sawah padi di luar kilang terbabit.

Lawatan Mesra DYMM Tengku Permaisuri ke Sekinchan itu seterusnya ke Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, bagi menikmati santapan tengah hari.

Baginda dan rombongan dijangka meneruskan mencemar duli lawatan selama hampir satu hari antaranya ke Kilang Khind, Wisma Masri, Pantai Redang dan garisan penamatnya di Sky Mirror.

 

 


Pengarang :