NASIONAL

KKM jalankan siasatan pencemaran bakteria produk AMB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran bakteria Pseudomonas aeruginosa dalam sampel produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh keluaran Malaysia yang ditarik dari pasaran Singapura.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengesahkan produk AMB jenama Starfresh itu hanya dipasarkan ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan.

Katanya, hasil verifikasi oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati kilang yang menghasilkan produk berkenaan melaksanakan program jaminan keselamatan makanan serta mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman ditetapkan.

“Bagaimanapun, KKM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran sepertimana yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan Singapore Food Agency (SFA) mengarahkan supaya air minuman jenama Starfresh ditarik balik daripada pasaran selepas bakteria ditemui dalam sampel produk berkenaan.

Laporan itu mengatakan bahawa strain bakteria Pseudomonas aeruginosa dikesan dalam sampel produk itu, yang diimport dari Malaysia.

SFA turut mengarahkan pengimport produk, Ekspor Radha, menarik balik semua produk yang terlibat.

Produk yang ditarik balik ialah air minuman 1.5 liter (luput 13 Mei 2021) dan minuman 500ml (luput 11 Mei 2021).

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna selain menjalankan pemantauan ke atas produk makanan di pasaran tempatan termasuk produk AMB.

“KKM ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menjelaskan, bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.

Katanya, bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.

“Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq .


Pengarang :