Selangorkini
NASIONAL

Majlis Media dijangka ditubuhkan menjelang akhir tahun ini

 

KUALA LUMPUR, 21 Jun : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berharap untuk melihat Majlis Media ditubuhkan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata mesyuarat pertama penubuhan majlis tersebut diadakan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini dan mereka bersetuju majlis berkenaan ditubuhkan melalui Akta Parlimen.

“Kami mengadakan perbincangan hampir dua jam. Kami mencapai persefahaman bahawa majlis tersebut perlu ditubuhkan melalui Akta Parlimen dan rang undang-undang yang dicadangkan akan digubal dengan tumpuan pada masa ini kepada lima bidang utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Mesyuarat tersebut melibatkan Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, yang mewakili media, kumpulan akademik, menteri berkenaan (Gobind) dan wakil Pejabat Peguam Negara.

Sejumlah 12 kumpulan diwakili pada mesyuarat tersebut.

Mengulas lima bidang utama di bawah cadangan rang undang-undang itu, Gobind berkata mereka menggariskan objektif dan fungsi majlis, perlembagaan majlis dan keahlian, kod tatalaku, kaedah penyelesaian pertikaian dan peruntukan umum termasuk mengkaji undang-undang semasa yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis itu dibentuk.

“Saya telah meminta bahagian penggubalan untuk menyediakan draf awal dalam tempoh dua minggu dari sekarang dan selepas itu jawatankuasa sementara terdiri daripada ahli-ahli media akan dibentuk untuk memuktamadkan butiran terperinci cadangan rang undang-undang tersebut,” katanya.

Gobind berkata beliau kemudian akan mengadakan pertemuan semula dengan pemegang taruh bagi memperincikan cadangan terakhir itu.

“saya harap untuk melihat ia (rang undang-undang) dibentangkan di Parlimen dan Majlis Media ditubuhkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengemukakan cadangan bertulis atau sebaliknya dan mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut. -BERNAMA


Pengarang :