NASIONAL

Saham KL dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, berikutan perkembangan semalaman yang positif mengenai aspek perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sentimen ini turut sejajar dengan saham Asia yang lain, yang menerima rangsangan dengan menjangka Rizab Persekutuan AS akan mengikut langkah Bank Pusat Eropah mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat dasarnya yang sedang berlangsung.

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama naik 1.85 mata kepada 1,654.61 daripada 1,652.76 pada Selasa.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.81 mata kepada 1,654.57.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 174 berbanding 41, dengan 128 kaunter tidak berubah, 1,524 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 71.19 juta bernilai RM38.50 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham indeks utama terus mencari sokongan institusi semalam yang dilihat berterusan dalam jangka masa terdekat berikutan prospek pasaran cerah dengan keyakinan baharu mengenai rundingan perdagangan antara AS dan China yang disambung semula.

Presiden AS Donald Trump semalam dalam twitter menyatakan beliau akan bertemu Presiden China Xi Jinping di Sidang Kemuncak G20 yang akan datang untuk memulakan semula rundingan mereka.

“Kami melihat semalaman Wall Street yang positif mengenai perkembangan tersebut turut meningkatkan pasaran tempatan dan mengekalkan peningkatan dalam masa terdekat, walaupun minat belian masih berkurangan dan petunjuk teknikal kembali dalam zon terlebih beli,” katanya dalam nota hari ini.

Syarikat penyelidikan itu berkata antara saham dalam tumpuan termasuklah pembekal tenaga, Serba Dinamik, yang meraih beberapa kontrak di Qatar dan Malaysia.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM8.97, Public Bank menambah dua sen kepada RM23.06, Tenaga merosot dua sen kepada RM12.98 manakala IHH tidak berubah pada RM5.62.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, Mestron menambah satu sen kepada 17.5 sen, Greatech dan Berjaya, masing-masing tidak berubah pada 99 sen dan 19.5 sen, bagaimanapun Lambo susut setengah sen kepada enam sen.

Indeks FBM Emas naik 22.78 mata kepada 11,639.24, Indeks FBMT 100 meningkat 20.87 mata kepada 11,492.32 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 14.01 mata kepada 11,912.92.

FBM 70 menokok 58.51 mata kepada 14,353.91 dan FBM Ace naik 21.34 mata kepada 4,374.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 31.19 mata kepada 16,714.81 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.56 mata kepada 160.53, bagaimanapun Indeks Perladangan susut 17.56 mata kepada 6,924.45.

-BERNAMA


Pengarang :