Selangorkini
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Semua 14 mayat Orang Asli suku Batek selesai dibedah siasat

KOTA BHARU, 19 Jun : Semua 14 mayat dan rangka Orang Asli suku Batek yang dikeluarkan dari Kuala Koh, Gua Musang sudah selesai menjalani proses bedah siasat, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Katanya kini pihaknya akan membantu pihak berkaitan termasuk seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk proses pengebumian semula Orang Asli suku Batek terbabit.

“Setakat ini kita tidak tahu bila proses pengebumian semula akan dijalankan kerana dalam urusan berkenaan polis hanya membantu.

Sehingga kini, pusat operasi di FELDA Aring 10 di Gua Musang masih beroperasi dan kawasan perkampungan Kuala Koh juga masih zon merah sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan kawasan itu selamat,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI ) di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata pusat operasi polis masih beroperasi di perkampungan Orang Asli suku Batek namun kekuatan anggota sudah dikecilkan berbanding sebelum ini.

Jabatan Kesihatan Kelantan dilaporkan berkata akan memberi suntikan vaksin secara menyeluruh bermula minggu ini kepada penduduk sekitar Kuala Koh terutama Orang Asli suku Batek yang terdedah dengan wabak demam campak.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya kini sedang mengumpul data termasuk mengenal pasti bilangan mereka yang terdedah memandangkan kampung itu bukan hanya didiami Orang Asli, malah ada juga masyarakat tempatan.

Katanya pihaknya juga akan mendapatkan bantuan dan kerjasama JAKOA dan ketua kampung atau tok batin bagi tujuan itu. -BERNAMA


Pengarang :