BERITA UTAMASELANGOR

Yayasan Al Baghdadi pupuk anak yatim cinta al-Quran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JUN: Yayasan Al Baghdadi komited membantu golongan anak yatim, mualaf dan juga orang asal untuk mempelajari dan mendalami al-Quran.

Ketua Pegawai Operasinya, Farhan Alias berkata, sehingga kini pihaknya sudah bekerjasama hampir tiga tahun bersama Yayasan Islam Darul Ehsan untuk membantu kelompok berkenaan.

“Matlamat utama kami ialah untuk mengajar al-Quran kepada anak yatim dengan cara lebih mudah dan menyeronokkan, pada masa sama kita tidak mahu mereka tertekan untuk belajar.

“Al Bahgdadi yakin melalui didikan secara percuma ini ia mampu membuatkan mereka jatuh cinta pada al-Quran,” katanya.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, dalam tempoh tiga tahun pihaknya sudah memberi pendidikan al-Quran secara percuma kepada kira-kira 6,000 anak yatim.

Katanya, Yayasan Al Baghdadi yang ditubuhkan pada 2011 turut memberi pendidikan al-Quran secara percuma kepada orang buta di seluruh negara.

“Kami dianggotai oleh Penolong Setiausaha Agong Perkim Kebangsaan, Datuk Hasbullah L. Isa, Mantan Pengarah Radio IKIM.FM, Ir Ahmad Jais Alias dan Pengasas Al Baghdadi, Ustaz Jalaluddin Hassanuddin.

“Pada masa sama, kami turut mengalukan sumbangan dari orang ramai mahupun mana-mana institusi untuk menjayakan program yang telah dirancang oleh Yayasan Al-Baghdadi.

“Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Untuk maklumat lanjut anda boleh hubungi saya di talian 0192345747,” katanya.

 


Pengarang :