AGENSISELANGOR

Air Selangor ganti peralatan loji 20 tahun

SHAH ALAM, 18 JULAI: Tujuh kerja utama membabitkan penggantian peralatan loji dan injap berusia antara 15 ke 20 tahun akan dilakukan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), mulai 23 Julai ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya terpaksa menggantikan peralatan berkenaan yang dijangka boleh mengalami kerosakan pada bila-bila masa.

Justeru, katanya, Air Selangor membuat perancangan bagi melaksanakan penambahbaikan untuk mengelakkan kerosakan teruk, pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu berlakunya henti tugas loji yang mengambil masa lebih lama dan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

LRA SSP1 mula beroperasi 1993 dan henti tugas terakhir bagi kerja penambahbaikan yang dijalankan adalah pada 2012.

Air Selangor mengambil alih pengoperasian LRA SSP1 selepas pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) dimuktamadkan pada April 2019 dan menjalankan audit teknikal.

Hasil laporan audit teknikal itu mendapati beberapa peralatan penting perlu diganti dan kerja penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang gangguan tidak berjadual yang boleh memberi kesan dan impak gangguan lebih besar.

Abdul Raof berkata, sebanyak 28 kerja tumpang juga akan dilakukan bagi penggantian dan menaik taraf sistem agihan sepanjang tempoh henti tugas loji berkenaan.

“Dengan melaksanakan kerja tumpang ini juga akan dapat meminimum dan mengelakkan gangguan pada masa hadapan ekoran pelaksanaan kerja penyelengaraan dan baik pulih di sistem agihan.

“Segala persiapan dibuat secara rapi dan pihak kami komited serta berusaha bagi memastikan kerja penambahbaikan ini berjalan lancar seperti yang dijadualkan juga meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas,” katanya.

Terdahulu dilaporkan beberapa kawasan di daerah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 23 hingga 26 Julai ini.

Penutupan bekalan air itu bagi memberi laluan kerja penambahbaikan LRA SSP1 yang akan dilaksanakan pada jam 9 pagi, 23 Julai ini.


Pengarang :