Selangorkini
NASIONAL

Empat warga asing terlibat kumpulan pengganas ditahan

KUALA LUMPUR, 9 JUL: Seorang guru madrasah lelaki antara empat individu warga asing ditahan polis setelah dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas di sekitar Selangor dan Kedah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, guru berkenaan warga Myanmar (etnik Rohingya) ditahan di Alor Setar, Kedah pada 3 Julai lalu.

Beliau berkata, guru berkenaan berkhidmat di sebuah madrasah di Bukit Pinang, Kedah dan berumur 25 tahun.

“Suspek ditahan kerana memberi sokongan kepada kumpulan Arakan Rohingnya Salvation Army (Arsa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata, tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun pada 14 Jun lalu yang bekerja sebagai pendawai elektrik dan disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) serta terlibat dengan kegiatan ‘Kidnapping For Ransom (KFR)’ di perairan Sabah.

Beliau berkata, individu berkenaan telah disenarai sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta didapati menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap secara haram di negara ini.

Abdul Hamid berkata, tangkapan seterusnya pada 21 Jun lalu di Ampang, di sini, membabitkan seorang lagi lelaki warga India berusia 24 tahun.

“Individu itu ditahan kerana bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan kumpulan pengganas Babbar Khalsa International India (BKI).

“Kumpulan itu dipercayai telah memasuki negara pada November 2018 dan Jun 2019. Individu yang bekerja sebagai penyelenggara lif itu juga didapati telah menyalurkan wang berjumlah RM7,600 bagi membiayai aktiviti kumpulan pengganas itu di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, pada 24 Jun lepas, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar (etnik Rohingya) berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek adalah penyokong kumpulan Arsa dan telah ditahan kerana memuat naik satu video ugutan bunuh ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed di laman sosialnya.

“Menerusi rekod, individu itu pernah ditangkap sebanyak tiga kali pada 1997, 2012 dan 2015 atas kesalahan memasuki negara secara haram, menggunakan dokumen perjalanan palsu dan terlibat dengan aktiviti penyeludupan manusia,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIA atas kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) .

– BERNAMA


Pengarang :