AGENDANASIONAL

KKM minta agensi penguatkuasaan sempadan negara pantau kemasukan vape

SEREMBAN, 23 JUL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan negara meningkatkan kawalan di pintu masuk terhadap produk yang membabitkan rokok elektronik atau vape bagi mengelakkan lambakkan produk tersebut di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, kemasukan produk tersebut dapat dikawal jika pihaknya mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP).

“Saya ingin menegaskan penguatkuasaan kawalan pintu masuk yang melibatkan Jabatan Kastam perlu dipertingkatkan, khususnya kemasukan produk yang bernikotin.

“Pihak KPDNHEP juga boleh membantu memainkan peranan dalam lambakan produk vape dan e-rokok ini, misalnya berbincang bersama FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) mengenai standard kawalan produk tersebut dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran KKM peringkat Kebangsaan kali ke-30 di sini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, bagaimanapun pihak KKM sendiri turut mengambil beberapa tindakan termasuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pakar yang dianggotai penguatkuasa farmasi, sektor inspektorat KKM, KPDNHEP dan Rangka Kerja Kawalan Tembakau,

“Jawatankuasa itu yang dipengerusikan timbalan saya Dr Lee Boon Chye telah bermesyuarat kali pertama pada 16 Julai lalu dan akan bermesyuarat untuk kali kedua, esok bagi memperincikan penguatkuasaan terhadap vape yang bernikotin dalam masa terdekat ini, memandangkan bahan vape yang bernikotin adalah dikawal dibawah Akta Racun.

“Bahagian Kawalan Penyakit juga sedang atur perbincangan dengan Kementerian Pendidikan mengenai isu penggunaan vape dikalangan pelajar sekolah,” katanya.

Tambahnya KKM juga berharap agar kerjasama dapat dijalinkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia termasuk stesen televisyen bagi memastikan iklan secara langsung atau tidak langsung terhadap vape dan bahan-bahanya dibanteras dan dicegah.

Baru-baru ini media melaporkan penggunaan vape di kalangan pelajar sekolah yang dilihat semakin berleluasa bukan sahaja digunakan oleh pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan. – BERNAMA


Pengarang :