AGENDAJENAYAH

Lelaki terjun sungai elak dicekup ditemui mati lemas

JOHOR BAHRU, 18 JUL : Gara-gara ingin mengelak daripada ditangkap pihak berkuatkuasa, seorang lelaki sanggup terjun ke dalam Sungai Endau, Mersing dekat sini, namun tindakan itu kemudiannya membawa malang apabila mangsa ditemui mati lemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward berkata lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai penagih dadah itu dan terjun ke dalam sungai berkenaan pada malam Selasa lepas, selepas dikejar oleh pihak polis dalam satu operasi pembanterasan dadah di Jalan Jeti, Endau.

Beliau berkata lelaki itu terjun bagi mengelak daripada ditangkap, dan sejurus kemudian usaha mengesan bagi menyelamatkannya terus dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk polis marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Pada pukul 8.50 pagi ini, mayatnya ditemui di jeti LKIM Endau dan kemudian dibawa ke Hospital Daerah Mersing untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes diklasifikasikan polis sebagai mati mengejut.

-BERNAMA


Pengarang :