AGENDA NASIONAL

NFCorp, Mohamad Salleh gagal dalam saman terhadap Public Bank

KUALA LUMPUR, 29 JUL: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikatnya hari ini gagal dalam saman mereka terhadap Public Bank Berhad berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam yang menolak saman kesemua plaintif iaitu NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga anak syarikatnya, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd, yang difailkan pada 2012.

Hakim Su dalam penghakimannya berkata kesemua plaintif gagal membuktikan kes itu terhadap defendan (Public Bank) berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Sehubungan itu, tindakan saman terhadap defendan ditolak dengan kos,” katanya yang turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos sebanyak RM350,000 kepada Public Bank.

Hakim itu membuat keputusan selepas mendengar keterangan daripada tiga saksi plaintif dan tujuh saksi defendan.

Pada 22 Mei 2012, NFCorp dan empat yang lain selaku plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

Dakwa plaintif maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.

Oleh itu, plaintif menuntut RM60 juta untuk ganti rugi am, RM250 juta sebagai ganti rugi teladan dan RM250 juta sebagai ganti rugi teruk.

Sementara itu, peguam Noor Farhah Mustaffa yang mewakili kesemua plaintif memberitahu pemberita bahawa anak guamnya akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Selain Noor Farhah, plaintif turut diwakili peguam David Matthews manakala Public Bank diwakili peguam Yoong Sin Ming. – BERNAMA


Pengarang :