NASIONAL

Pasukan khas untuk banteras penyeludupan kereta klon di Kelantan

PASIR MAS, 14 JUL : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan akan menubuhkan satu pasukan khas bagi membanteras penyeludupan kereta klon dari Singapura ke negeri ini.

Pengarahnya Mohd Rakbi Mat Saud berkata pasukan khas itu akan ditubuhkan susulan pihaknya telah mengenalpasti beberapa modus operandi (MO) yang digunakan penyeludup bagi membawa masuk kereta terbabit ke negeri ini.

“Pasukan khusus itu ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan risikan kerana pihak kami mendapati kereta klon dari negara jiran itu telah banyak berada di negeri ini.

“Dengan adanya pasukan khusus itu, kami yakin JKDM dapat membanteras atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kemasukan kereta klon dari Singapura ke negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Kayuhan Perkasa 1.0.2019 di Pejabat Kastam Rantau Panjang di sini, hari ini.

Mohd Rakbi berkata pasukan khas itu ditubuhkan juga berikutan penyeludup ‘bijak’ menukar dan mencipta MO baharu untuk membawa masuk kereta-kereta terbabit ke negeri ini.

“MO mereka (penyeludup) macam-macam boleh buat oleh itu satu pasukan khas perlu ditubuhkan bagi membenteras kegiatan mereka itu.

“Sebelum ini juga kami berjaya menahan beberapa buah kereta terbabit dan MO mereka menepati risikan yang dibuat oleh pihak kami, ” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh hampir tujuh bulan tahun ini pihaknya sudah berjaya menahan hampir 30 buah kereta klon dari Singapura yang digunapakai di negeri ini.

“Kami percaya masih banyak lagi kereta klon di ketagorikan mewah digunapakai di negeri ini berikutan keadaan fikizal kereta terbabit masih baharu dan harganya lebih murah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :