AGENDASUKANKINI

Perak, Kedah sedia bertempur untuk final Shopee Piala FA 2019

BUKIT JALIL, 26 JUL: Perak dan Kedah sudah bersedia untuk memerah keringat sehingga wisel penamat bagi memastikan Shopee Piala FA 2019 dibawa pulang ke negeri masing-masing malam esok.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, Perak pastinya mahu melakar sejarah memenangi kejuaraan edisi ke-30 selepas kali terakhir menang pada 2004.

“Ini adalah final yang penting buat seluruh pemain, kakitangan dan rakyat yang menantikan hampir 15 tahun.

“Saya harap pemain melakukan yang terbaik dan memberikan sepenuh tumpuan malam esok,” katanya.

Bagi Ketua Pasukan Perak, Shahrul Saad kejayaan abangnya, Syamsul Saad pada 2004 menjadi pemangkin buatnya memberikan sepenuh tumpuan supaya Shopee Piala FA menjadi milik The Bos Gaurus.

“Ia final kedua buat saya selepas Piala Malaysia tahun lalu. Saya akan memberikan yang terbaik dan restu diberikan abang (Syamsul) akan menjadi pemangkin buat saya serta pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Final Shopee Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Bagi pengendali skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, Kedah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik walaupun kehilangan tonggak utama, Renan Alves.

“Persediaan semua baik dan berjalan lancar. Final ini bukan berkaitan satu pemain dan kita akan berikan tumpuan kepada semua aspek,” katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Pasukan Kedah, Badrool Bakhtiar, beliau akan berusaha memburu kejuaraan Piala FA peribadi buat kali keempat.

Katanya, dengan gandingan pemain muda beliau yakin Kedah mampu memberikan saingan kepada Perak.

Kedah mara ke pentas akhir apabila menewaskan Felda United menerusi kelebihan gol tempat lawan selepas terikat 3-3 menerusi agreget.

Manakala Perak terpaksa melakukan persembahan penuh magis di laman sendiri untuk menewaskan Pahang 4-3 menerusi agregat pada separuh akhir kedua.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :