BERITA UTAMASELANGOR

Persekutuan adaptasi sistem pengurusan bencana Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 7 JUL: Sistem pengurusan bencana Selangor diiktiraf sebagai yang terbaik di Malaysia sehingga mendorong Kerajaan Persekutuan mengadaptasi sistem terbabit di peringkat nasional.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Perdana Menteri di Putrajaya baru-baru ini.

“Dalam sesi taklimat yang dibentangkan berkenaan pengurusan bencana, kitalah Negeri Selangor yang mempunyai sistem pengurusan terbaik di Malaysia dan sistem itu akan diadaptasi di peringkat Persekutuan dan juga di negeri lain di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Templer dan Parlimen Selayang di Dataran Ilmu, Selayang Baru di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis sama Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan dan ADN Kuang, Salehuddin Amiruddin.

Amirudin berkata, ini membuktikan Selangor bukan sahaja mempunyai pengurusan ekonomi yang baik tetapi turut memiliki sistem pentadbiran yang cekap.

Katanya, sistem pentadbiran Selangor turut dijadikan model dalam pembentukan dan pengurusan mana-mana kerajaan.


Pengarang :