Selangorkini
SELANGOR

Remaja cekal tanggung lima beradik dapat perhatian LZS

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 2 JULAI: Kisah seorang remaja perempuan cekal menjaga bapanya yang sakit selain menanggung lima lagi adik-beradik lain mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Perkara itu dikongsikan institusi berkenaan ketika berkunjung ke rumah keluarga terbabit, di sini baru-baru ini.

LZS dalam kenyataan berkata, remaja yang dikenali dengan nama Nurul Ain itu bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji hanya RM35 sehari.

Katanya, lebih menyedihkan apabila bapanya masih mendapat rawatan susulan di hospital dan tidak mampu bekerja.

“Empat orang adiknya masih bersekolah sementara seorang lagi masih kecil dan belum bersekolah.

“Kami turut dimaklumkan kemungkinan mereka akan dihalau keluar dari rumah sewa akibat gagal menjelaskan bayaran sewa selama empat bulan,” kata kenyataan itu.

Atas dasar keprihatinan, Eksekutif Operasi Agihan LZS, Zaheer Zainal menziarahi keluarga berkenaan dengan Penolong Amil Kariah Masjid As-Salam Puchong Perdana, Rahman Hassan untuk mendapatkan maklumat tepat.

“Hasil semakan mendapati keluarga ini adalah asnaf fakir miskin. Melihat kedaifan keluarga ini bantuan asas sebagai asnaf fakir miskin akan segera disalurkan.

“LZS juga akan membantu berkaitan hutang tunggakan bayaran sewa rumah berjumlah RM3,400 setelah dokumen yang diperlukan lengkap,” katanya.


Pengarang :