BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ribuan serbu Karnival Kerjaya @ Shah Alam

SHAH ALAM, 27 JUL: Ribuan pencari kerja membanjiri Dewan Teratai Seksyen 19, di sini, bagi merebut peluang pekerjaan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya @ Shah Alam 2019, hari ini.

Penganjuran julung kali Persatuan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor dengan kerjasama Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan Kota Anggerik itu menyediakan proses temuduga terbuka bersama 20 majikan di booth yang disediakan.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh syarikat dan korporat, khususnya kepada graduan lepasan universiti.

“Ia satu program amat signifikan untuk penduduk di sekitar Shah Alam mahupun, di luar sana yang sentiasa mencari pekerjaan kerana kita ingin melihat anak tempatan bekerja.

“Sudah sampai masa rakyat kita mengambil peluang ini untuk terus mencari peluang, tetapi jangan terlalu memilih kerana paling penting pekerjaan ini menjadi batu loncatan supaya pergi lebih jauh.

“Saya mengharapkan program ini nanti akan dapat membuat pengambilan kepada mereka yang datang untuk temuduga,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Turut hadir, ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Deraman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohamad Jamil Abdul Rahim.

Antara syarikat yang menjayakan karnival berkenaan termasuk Ninja Logistics Sdn Bhd; Dazun Paper Industrial; Malaysia Steel Works KL Berhad; Gintell Rest N Go Sdn Bhd dan MyNews Retail Sdn Bhd.

Karnival berkenaan turut menyediakan pameran usahawan antaranya Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH Selangor); Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA); Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).

Salah seorang pengunjung, Nur Syahira Mohd Fauzan, 23, berkata, dia menggunakan peluang itu untuk mendapatkan pekerjaan pertamanya memandangkan baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan Kimia.

“Saya mahu cari kerja tetap kerana ini adalah permulaan saya untuk kembangkan karier selain mencari pengalaman.

“Saya berharap pekerjaan dimohon ini selari dengan kursus diambil sepanjang tempoh pengajian di universiti. Bagaimanapun, saya akan cuba meyakinkan majikan dengan pengalaman dan ilmu yang saya miliki.

“Dalam seribu permohonan akan ada satu yang dapat, ia terpulang kepada rezeki kerana paling penting peluang itu jangan disia-siakan,” kata graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang berasal dari Klang itu.

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Danial Hazim, 27, berkata, mahasiswa yang sudah menamatkan pengajian digalakkan datang ke karnival seumpama ini untuk mencari pekerjaan dan menjalani temuduga bersama majikan.

“Kadang-kadang buat permohonan secara dalam talian (online) sahaja tidak cukup. Jadi, kena keluar juga menghadiri karnival kerjaya,” kata graduan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.


Pengarang :