NASIONAL

Saksi sahkan transaksi deposit RM2 juta ke dalam akaun Tadmansori Holding

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu terdapat transaksi deposit RM2 juta oleh syarikat pemaju, Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ke dalam akaun Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai kepentingan, pada 14 Jun 2016.

Perkara itu disahkan oleh penolong pengurus CIMB cawangan Taman Setiawangsa, Khairolrony Kamarudin ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

“Merujuk kepada penyata CIMB Bank, akaun semasa atas nama Tadmansori Holding Sdn Bhd dan cek Hong Leong Islamic Bank milik Syarikat Aset Kayamas bertarikh 14 Jun 2016, saya sahkan terdapat kemasukan deposit berjumlah RM2 juta ke dalam akaun syarikat Tadmansori dan pembayaran adalah daripada Aset Kayamas,” kata saksi pendakwaan kedua itu ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun ketika disoal balas peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, saksi berumur 44 tahun itu bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa beliau tidak mengetahui tujuan cek tersebut dibayar.

Khairolrony juga apabila dirujuk penyata akaun semasa milik Tadmansori Holding bersetuju dengan Tan bahawa terdapat empat deposit wang masing-masing berjumlah RM2 juta ke dalam akaun tersebut untuk keseluruhan Jun 2016 iaitu pada 6 Jun, 14 Jun, 16 Jun dan 17 Jun.

Ketika dirujuk penyata akaun semasa yang sama milik Tadmansori Holding bermula 31 Mei 2016 sehingga 30 Jun 2016, saksi itu mengesahkan bahawa baki pembukaan akaun berkenaan bertarikh 31 Mei 2016, berjumlah RM2,982,567.32 dan baki penutup akaun bertarikh 30 Jun 2016, berjumlah RM27, 191,234.55.

Terdahulu, saksi itu merujuk kepada borang permohonan akaun semasa CIMB bagi Syarikat Tadmansori Holding bertarikh 8 Julai 1998 dan mengesahkan bahawa akaun tersebut dibuka oleh penama Tengku Adnan dan penama Tengku Dr Rethwan Tengku Mansor sebagai pengarah syarikat tersebut.

“Berdasarkan borang pembukaan ini juga, saya sahkan borang permohonan pembukaan ini ditandatangani oleh Tengku Datuk Adnan Tengku Mansor dan Tengku Dr Rethwan Tengku Mansor. Berdasarkan borang pembukaan, pembukaan akaun ini telah diluluskan di CIMB Cawangan Setiawangsa pada 23 Julai 1998,” katanya.

Saksi pertama pendakwaan, penolong pendaftar syarikat dan perniagaan di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah ketika merujuk kepada maklumat syarikat mengesahkan bahawa Chai merupakan pengarah Syarikat Aset Kayamas yang ditubuhkan pada 11 Jan 2011.

Menyentuh mengenai maklumat modal syarikat Tadmansori Holding yang ditubuhkan pada 25 Ogos 1987 pula, saksi berumur 36 tahun itu berkata jumlah syer yang diterbitkan adalah RM100,000,000.00.

“Maklumat pemegang syer syarikat Tadmansori Holding adalah RM4.00 pemilik syer Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor dan RM99,999,996.00 pemilik syer Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – BERNAMA


Pengarang :