Selangorkini
Foto BERNAMA
NASIONAL

Suara golongan muda asas pembentukan negara

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Penurunan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun membolehkan suara golongan muda di negara ini lebih jelas, lantang dan dijadikan asas kepada pembentukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia ekoran isu yang dibangkitkan golongan muda adalah persoalan masa depan yang akan dihadapi generasi belia.

“Isu anak muda adalah isu rakyat, juga digelar politik marhean. Kita jangan ingat politik itu hanya untuk golongan kaya, aristokrat, bandar dan berpendidikan sahaja kerana undi setiap golongan itu amat bermakna dalam menentukan pentadbir negara.

“Sama seperti golongan muda, apabila di usia 18 tahun, kamu juga mahukan sistem pendidikan yang baik, peluang biasiswa dan peluang pekerjaan tetapi ketika ini mereka tidak diberi hak. Ini yang saya katakan tidak adil dan kita perlu perjuangkan hari ini,” katanya dalam program Bicara Politikonomi yang disiarkan secara langsung menerusi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Menyentuh berkenaan kematangan politik belia pada usia 18 tahun, Syed Saddiq percaya 18 tahun merupakan umur yang mampu membuat keputusan yang matang dalam menentukan masa depan negara.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata beliau mahu anak muda lebih mengambil tahu akan situasi dalaman negara dan isu semasa yang berlaku bagi membolehkan mereka jelas akan perjuangan yang benar dalam memajukan negara.

“Anak muda perlu ada garis panduan yang jelas mengenai politik kerana politik ini bukan sekadar melibatkan lambang dan parti sahaja. Ia lebih daripada itu meliputi pembangunan revolusi industri dan perkembangan isu dalam dan luar negara,” katanya.

Usul pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu yang merupakan satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan, dijangka dibentangkan Syed Saddiq setelah ia dipersetujui secara sebulat suara oleh Kabinet, pada September lalu.

-BERNAMA


Pengarang :