Selangorkini
NASIONAL

TH nasihat jemaah haji dapatkan bimbingan jika hadapi masalah

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Jemaah haji yang berdepan masalah atau kemusykilan dalam menjalani ibdah umrah dan haji dinasihat mendapatkan bimbingan guru pembimbing disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Pengurus Ibadat Madinah TH, Mohd Zamri Ramli berkata, pihaknya menyediakan 12 guru pembimbing di Madinah bagi membantu menjawab serta membimbing jemaah dan mereka boleh terus berhubung atau berjumpa dengan guru pembimbing ditugaskan di zon hotel penginapan masing-masing.

Beliau berkata, ceramah dan sesi ulangkaji mengenai ibadat umrah dan haji juga turut diadakan bagi mengingatkan semula jemaah mengenai ibadah yang akan dijalankan.

“Mereka juga boleh menghubungi talian hotline yang tertera pada tali tanda nama mereka pada bila-bila masa.

“Petugas yang menjaga talian hotline itu akan menjawab setiap kemusykilan terutama ketika jemaah berada di luar serta sedang melakukan ibadah,“ katanya pada sidang media di Madinah yang dikongsikan TH kepada Bernama di sini, hari ini.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

Mohd Zamri, 38, berkata masalah dan kemusykilan ibadah yang paling tinggi diterima pihaknya adalah berkenaan kesihatan wanita seperti permasalahan haid, manakala lelaki turut mengemukakan masalah kesihatan seperti kencing tidak lawas.

“Biasa setiap persoalan itu akan dijawab dengan teliti bagi memberi kefahaman kepada jemaah yang bertanya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :