BERITA UTAMASELANGOR

Warna Warni Aidilfitri Selangor 2019 rakam kenangan manis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 1 JUL: Majlis Warna Warni Aidilfitri Negeri Selangor 2019 merakam kenangan manis tersendiri apabila lebih 10,000 pengunjung khususnya warga Klang membanjiri Dataran Pangsapuri Sri Perantau bagi meraikan kemeriahan sambutan itu, di sini malam tadi.

Jamuan raya terbabit adalah penganjuran sulung di bawah EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Abdul Rashid berkata, sambutan berkenaan memberi ruang kepada seluruh masyarakat untuk berkumpul dalam suasana penuh harmoni sambil menikmati aneka hidangan yang sinonim dengan kedatangan Syawal.

Katanya, Syawal adalah masa untuk meluangkan bersama jiran taulan sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita memberi sokongan jitu kepada apa sahaja usaha dan penganjuran program berteraskan semangat tolong-menolong serta bantu-membantu dalam kalangan rakyat.

“Amalan mulia ini melambangkan identiti kita sebagai bangsa Malaysia yang penuh adab dan budaya kesopanan tinggi.

“Nilai sebegini perlu disemai dalam kalangan generasi baru supaya keharmonian negara dapat dikekalkan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; EXCO Lembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail serta EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Difahamkan, budaya ‘rewang’ atau penyediaan masakan secara bergotong-royong ditetapkan melalui penganjuran majlis jamuan raya berkenaan.

Penyediaan aneka juadah cukup sinonim dengan amalan rumah terbuka seperti lemang, rendang, sup tulang dan kari ayam yang menggamit selera dikendalikan sendiri Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Perantau yang bertungkus-lumus memasak seawal 9 pagi.

Dalam majlis sama, Abdul Rashid turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang dijemput khas dari tiga pusat kebajikan sekitar daerah terbabit.

Sumbangan berbentuk replika cek bernilai RM2,000 diserahkan kepada Persatuan Anak Yatim dan Miskin A-Munirah, Rumah Anak Yatim Opah Hasnah dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang.

Lebih mengujakan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular tanah air yang juga Juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana, bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Haziq termasuk artis residen dari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor.


Pengarang :