Azmizam bersama beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Ahli Majlis N46 A, Persatuan Bekas Polis Malaysia Klang, NGO Ikatan Kasih Komuniti Pulau Indah, Persatuan Gabungan Tindakan Alaf Baru Malaysia (Millenium Action Team), Komuniti Harapan Malaysia membuat laporan polis berkenaan kenyataan seorang individu yang menghina ATM di IPD Klang Selatan, 17 Ogos 2019.
ADNSELANGOR

Isu hina ATM, ADN mohon ambil tindakan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Individu yang bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dikenakan tindakan tegas.

Perbuatan itu jelas biadap dan menghina secara terang-terangan kepada Komander Angkatan Tertinggi ATM iaitu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, laporan polis yang dibuat harini susulan aduan daripada orang awam berhubung kenyataan seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin baru-baru ini.

“Kenyataan beliau berbaur penghinaan terhadap tentera disiarkan di laman blognya itu menimbulkan kemarahan orang ramai apabila dipetik media, dan kini sudah dipadamkan.

“Malah, kenyataan itu seolah menidakkan jasa tentera sejak dahulu hingga kini, dan ia satu kenyataan yang tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Klang Selatan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azmizam berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu terbabit.

“Keamanan yang dikecapi adalah hasil pengorbanan anggota tentera dalam mempertahankan tanah air sehingga beliau sendiri boleh mengumpul kekayaan dalam suasana yang aman.

“Saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap individu ini supaya ia tidak berulang lagi, dan masa sama menjadi pengajaran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang politik supaya tidak menghina anggota tentera dan pihak keselamatan yang lain,” katanya.

Terdahulu, Azmizam bersama beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Ahli Majlis N46 A, Persatuan Bekas Polis Malaysia Klang, NGO Ikatan Kasih Komuniti Pulau Indah, Persatuan Gabungan Tindakan Alaf Baru Malaysia (Millenium Action Team), Komuniti Harapan Malaysia membuat laporan polis berkenaan kenyataan seorang individu yang menghina ATM di IPD Klang Selatan, hari ini.


Pengarang :