Jerebu di Miri berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal yang berlaku sejak semalam. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

JAS aktifkan dua pelan tindakan atasi jerebu

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaraskan tindakan oleh agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu negara.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, langkah itu dilaksanakan selepas kualiti udara mencapai tahap bahaya di kawasan Miri dan Kuala Baram, sejak dua hari lalu.

“Pihak kami juga mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada semua pemilik tanah di kawasan tanah gambut Kuala Baram, Sarawak bagi mencegah dan mengawal kebakaran, di kawasan berkenaan.

“Kami juga menjalankan rondaan operasi harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka selain menyalurkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi Bernama News Channel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa tindakan sudah diambil bagi mengatasi masalah jerebu di Sarawak seperti meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan punca lain yang berpotensi memberi kesan kepada masalah terbabit.

Selain itu, katanya JAS turut menjalinkan kerjasama dengan agensi lain dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) kebakaran di tanah gambut bagi mencegah dan mengawal kebakaran serta menyebarkan maklumat.

Norlin berharap semua pihak berkepentingan dan pemilik tanah memantau secara rapi kawasan yang mudah serta sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut serta tanah pertanian juga industri.

“Orang ramai pula diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan kualiti udara setempat. JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebabkan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari ini, stesen Institut Latihan Perindustrian Miri mencatat bacaan IPU 340 pada tahap bahaya, manakala stesen Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 berada pada peringkat sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 291.

– BERNAMA


Pengarang :