AGENDANASIONAL

Menara Komtar menang anugerah Tenaga Efisien

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Menara Komtar Pulau Pinang muncul sebagai pemenang Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Besar) bagi kategori Tenaga Efisien, di majlis yang julung kalinya diadakan, Majlis Penganugerahan Tenaga Negara (NEA) di sini malam tadi.

Empat lagi pemenang dalam kategori yang sama adalah Menara TM, MITC Melaka memenangi Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Kecil); Anugerah Pusat Inovasi dan Pemeliharaan Alam Sekitar (EPIC), Negeri Sembilan (Bangunan Hijau); CSC Steel Sdn Bhd, Melaka (Pengurusan Tenaga dalam Industri (Besar); dan KLIA2, Sepang bagi Anugerah Reka bentuk Efisien Tenaga.

Pemenang kategori Tenaga Efisien diberikan anugerah itu kerana kejayaannya melaksanakan langkah-langkah efisien tenaga dalam bangunan dan industri menerusi reka bentuk inovatif.

Sementara itu bagi kategori Tenaga Diperbaharui, Cypark Resources Sdn Bhd dan FGV Palm Industries Sdn Bhd masing-masing memenangi Anugerah Grid Nasional dan Anugerah Grid Tempatan, kerana mengguna pakai teknologi tenaga diperbaharui bagi grid elektrik.

Majlis penganugerahan itu dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

“Kami menerima respons amat memberangsangkan dari 145 pemohon, dan ini jelas menggambarkan peningkatan dan keyakinan institusi serta perniagaan di Malaysia dalam menerima pakai amalan yang mampan dalam operasi mereka,” kata Menterinya, Yeo Bee Yin dalam ucapan beliau di majlis makan malam gala NEA dan penyampaian anugerah di sini.

Beliau berkata, usaha gigih dan komitmen juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti Tenaga Diperbaharui dalam penjanaan keupayaan menerusi program-program sedia ada seperti Skim Net Energy Metering dan Program Solar Skala Besar (LSS).

Memandangkan Malaysia mengeluarkan kira-kira 370 juta ton karbon dioksida, Yeo berkata, usaha lebih gigih diperlukan, terutama berkaitan jejak karbon.

“Penyingkiran karbon menerusi tenaga efisien adalah antara langkah yang sedang diusahakan dengan gigih oleh MESTECC, kerana ia menangani kedua-dua isu berkaitan kos efektif dan juga pengurangan emisi,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Merit diberikan kepada Menara KEN, KUB Berjaya Sdn Bhd, Gan Teng Siew Realty Sdn Bhd, Mattan Engineering Sdn Bhd dan Amcop Perting Hydro Sdn Bhd.

MESTECC turut memilih Gerbang Alaf Sdn Bhd, ZOG Engineering Technology, Malaysian Green Technology Corporation dan SIRIM Berhad untuk Penyertaan Khas ke Majlis Anugerah Tenaga ASEAN yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand tahun hadapan. – BERNAMA


Pengarang :