AGENDANASIONAL

Muhyiddin: Setiap kaum ada sumbangan kepada negara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Setiap kumpulan kaum dan masyarakat di Malaysia ada memberi sumbangan masing-masing kepada negara dan ia bukan sesuatu yang perlu dibangkitkan.

Ketika membuat penegasan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hakikatnya masyarakat di negara ini memerlukan satu sama lain.

“Kita kena ingat balik bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang didukung perjuangannya sejak awal sampai hari ini oleh pelbagai kumpulan, kaum, agama dan sebagainya.

“Ia sebahagian daripada sejarah Malaysia, (ketika) kita akan menyambut hari kemerdekaan ini tak boleh kita nafikan bahawa setiap kumpulan kaum, masyarakat mempunyai sumbangan masing-masing (kepada negara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada program Bicara Kemerdekaan Kedua anjuran badan bukan kerajaan Akademi Harimau Asia, di sini hari ini.

“Tak payahlah kita nak nilai berapa peratus sama ada 60 peratus, 30 peratus atau 10 peratus (misalnya) – tetapi kita secara bersama memberikan sumbangan.

“Tak boleh kata ada kumpulan tertentu sahaja menyatakan mereka yang menyumbang. Kita perlukan satu sama lain,” katanya.

Atas sebab itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang rasa tidak puas hati tidak harus menjurus kepada tindakan mempersoal hal yang dipersetujui sebelum ini.

Ini termasuk perkara berkaitan bahasa, agama, hak Bumiputera dan hak kaum lain, institusi raja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak beragama kaum lain.

“Ini adalah sebahagian dalam kehidupan kita, ia bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita amalkan selama lebih 60 tahun,” katanya.

Beliau sekali gus menyatakan kebimbangan sebagai menteri yang menjaga soal keselamatan negara berhubung tindakan membangkitkan isu berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja sejak akhir-akhir ini yang membawa kesan tidak baik.

Muhyiddin berkata, ramai yang bertanya kepadanya apa yang sedang berlaku kepada Malaysia dan ini membawa maksud bahawa masyarakat merasa terkesan dengan isu perkauman yang sudah mula membara dengan ‘suhu’ yang dilihat semakin meningkat.

Beliau berkata, perkembangan sebegini perlu dikawal dan bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang berat tentang perkara yang menyentuh isu-isu sensitif yang dibangkitkan tidak kira oleh sesiapa termasuk tokoh agama.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin memberitahu laporan yang diterima pihak berkuasa berkaitan 3R didapati meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, arahan juga dikeluarkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan atau kenyataan yang menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.

-BERNAMA


Pengarang :