Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneliti peta bagi mencari dan menyelamat Nora Anne Quoirin, 15, remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Operasi terbesar cari misteri kehilangan Nora Anne

NILAI, 12 OGOS: Polis pagi ini telah mengerahkan seramai 348 anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang memasuki hari kesembilan hari ini.

Jumlah itu menjadikan ia sebagai pasukan SAR yang terbesar setakat ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan di sini berkata, agensi keselamatan yang terlibat antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, Sapura, serta penduduk tempatan termasuk Orang Asli.

Operasi SAR pada hari ini turut menumpukan pencarian di Gunung Berembun.

Sehingga pukul 11.15 pagi ini, keadaan mendung dan berkabus serta sekali sekala disertai hujan.

Keadaan ini dijangka memberi cabaran kepada petugas SAR serta petugas media yang turut menyertai operasi.

Setakat pagi ini, status keberadaan Nora Anne masih menjadi tanda tanya dan tinjauan dilokasi mendapati beberapa kenderaan pelbagai agensi keselamatan dilihat keluar dan masuk dari laluan utama ke resort dan kaki Gunung Berembun.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.
-BERNAMA


Pengarang :