Kerajaan memutuskan tiada acara perbarisan pada 31 Ogos seperti kelaziman berikutan negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Pasukan berkuda diketuai KSN antara tarikan sambutan merdeka

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Perarakan pasukan berkuda penjawat awam, yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar, antara tarikan dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019, di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, dalam segmen penjawat awam itu, Ismail akan mengetuai 44 pasukan berkuda dan 900 orang penjawat awam daripada pelbagai kementerian.

“Rakyat Malaysia sudah biasa dengan persembahan sama setiap tahun dalam perarakan Hari Kebangsaan, justeru kali ini kita cuba bawa beberapa pembaharuan, termasuk dalam segmen penjawat awam di mana KSN sendiri akan menunggang kuda dan mengetuai penjawat awam.

“Kita juga ada persembahan pergerakan formasi manusia, membabitkan pelajar sekolah yang akan melakukan formasi itu di atas struktur 12 tingkat, dengan membawa mesej semangat patriotisme,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Dr Aminuddin berkata, pihaknya juga menjangkakan seramai 300,000 ke 500,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

Katanya, pelbagai kemudahan juga akan turut disediakan kepada pengunjung termasuk tempat duduk teres lima tingkat di sepanjang Dataran Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli berkata, seramai 15,910 peserta dan 391 aset milik Angkatan Tentera Malaysia serta Polis Diraja Malaysia akan terbabit dalam sambutan tahun ini.

-BERNAMA


Pengarang :