Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberi ucapan penutup ketika Majlis Penutup Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2019 di RHR Hotel Uniten, Bangi pada 10 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Selangor sedia jadi tuan rumah SUKMA 2022 – MB

BANGI, 10 OGOS: Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi Kerajaan Negeri sedia digerakkan bagi melancarkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 sekiranya Selangor diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah temasya dwi tahunan itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri sedang giat berusaha untuk mendapatkan hak penganjuran itu.

“Kita memang sedang melobi di peringkat tertinggi untuk menjadi tuan rumah SUKMA yang kali terakhir kita menjadi tuan rumah tahun 1998 dan Insya Allah selepas lebih 20 tahun kita dapat sekali lagi jadi tuan rumah.

“Kita harap Selangor menjadi tuan rumah terbaik dan ini menjadi platform kepada atlet untuk menunjukkan prestasi terbaik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) Ke-13 di RHR Hotel Uniten Bangi, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, selain menjadi medan terbaik untuk atlit, SUKMA juga memberi pengalaman berguna kepada PBT dan agensi Kerajaan Negeri menganjurkan temasya sukan kebangsaan terbesar itu.

Amirudin turut meluahkan keyakinan, Selangor mampu menjadi tuan rumah terbaik kejohanan itu nanti.

Sebelum itu, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Selangor berpotensi besar untuk menjadi tuan rumah sepanjang penganjuran SUKMA sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, ini kerana Selangor memiliki pelbagai kemudahan di samping para pegawai berpengalaman luas dalam penganjuran acara sukan besar.

“Saya yakin Dato’ Menteri Besar akan melobi dan dibantu Menteri di Persekutuan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk kita menjadi tuan rumah nanti,” katanya.


Pengarang :