Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat Sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Sultan Selangor tunai solat sunat Aidiladha

SHAH ALAM, 11 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Negeri, hari ini.

Baginda yang diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tiba kira-kira 8 pagi.

Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan kerabat diraja lain.

Sebaik selesai solat dan khutbah, baginda turut mengambil kesempatan bersalaman dengan rakyat sebelum berangkat ke tapak penyembelihan untuk menyerahkan lembu korban.

Proses penyembelihan disempurnakan Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

Sementara itu, khutbah bertajuk Ibadah Korban dan Haji Lambang Pengabadian Sejati disampaikan Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Dalam khutbahnya, beliau mengingatkan umat Islam untuk memperkukuhkan ekonomi masing-masing dengan berusaha lebih gigih supaya dihormati.

“Antara roh ibadah haji dan korban yang mesti kita hayati juga ialah berusaha memperolehi harta yang lebih dengan pekerjaan halal.

“Jika semangat ini dihayati oleh umat Islam, sudah pasti mereka tidak menjadi bangsa yang miskin, mundur dan lemah, bahkan akan muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati.

“Ibadah haji juga mengajak umat Islam supaya menghayati semangat kesatuan berteraskan ketauhidan kepada Allah SWT, mengelak perpecahan sekalipun berbeza bangsa dan warna kulit,” katanya.


Pengarang :