Tengku Amir Shah pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari Kebangsaan ke-62 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. 30 Ogos 2019. REMY ARIFIN/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tengku Amir hadir majlis tahlil, doa selamat merdeka

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-62 Peringkat Negeri Selangor.

Baginda tiba di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

Baginda kemudian mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Hijrah Ummah Kemerdekaan Barakah’ yang antara lain mengingatkan umat Islam untuk meyakini bahawa mempertahankan kemerdekaan dan melakukan hijrah adalah suatu tuntutan.

Selepas itu, baginda menyertai ribuan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid negeri.

Usai solat Jumaat, baginda tidak melepaskan peluang bertemu dan bermesra dengan jemaah yang hadir.

Hadir sama, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.


Pengarang :