AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Angka remaja mahu bunuh diri meningkat

SHAH ALAM, 10 SEPT: Bunuh diri disenaraikan sebagai antara 10 penyebab kematian utama di dunia dan penyebab kedua bagi individu berumur 15 hingga 29 tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tingkah laku dalam kalangan remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun di negara ini menunjukkan peningkatan 2.1 peratus antara tahun 2012 sehingga tahun 2017.

Katanya, dianggarkan 20 orang ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi bagi setiap nyawa yang terkorban.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2017 mendapati prevalen (kelaziman) idea ingin bunuh diri adalah 10.0 peratus pada tahun 2017 berbanding 7.9 peratus pada tahun 2012.

“Prevalen membuat perancangan untuk bunuh diri pula adalah 7.3 peratus (2017) berbanding 6.4 peratus (2012), manakala cubaan bunuh diri adalah 6.9 peratus (2017) berbanding 6.8 peratus (2012),” katanya dalam kenyataan.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri adalah di luar jangkauan kesihatan seperti komorbiditi gangguan mental, penyalahgunaan substans, masalah psikososial dalam keluarga, tragedi kehidupan, masalah hubungan dan masalah kewangan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta perlu memainkan peranan bersama bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri selari dengan tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia tahun ini iaitu ‘Working Together to Prevent Suicide’ atau ‘Bersama Mencegah Bunuh Diri’.

“Bunuh diri boleh dicegah. Sebagai ahli masyarakat, kita boleh mengambil tindakan untuk membantu sekiranya kita mengetahui terdapat dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai atau mereka yang kita kenali mengalami krisis emosi, tanda-tanda kemurungan atau berniat untuk membunuh diri.

“Antara yang boleh dilakukan adalah mengambil serius tentang masalah mereka, luang masa untuk mendengar keluhan mereka dan mengambil berat serta memberikan sokongan sosial kepada mereka.

“Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.

Noor Hisham berkata, KKM menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 buah hospital-hospital kerajaan,1001 buah klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 25 buah Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI).

Individu yang mempunyai masalah berkaitan isu-isu kesihatan mental boleh juga mendapatkan bantuan melalui talian Hotline (bebas tol) 24 jam 03-79568145 yang dikendalikan oleh pihak The Befrienders.

“KKM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana telah berkolaborasi di dalam melaksanakan program-program promosi dan pencegahan bagi menangani permasalahan mental.

“Antara program-program termasuklah Program Minda Sihat Sekolah, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) dan Sweat-Off Depression Away (SODA),” katanya.


Pengarang :