PENDAPATRENCANA

Belia bangga julang nama Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, pelatih pakar bedah Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri atau Dr Amalina dan naib juara Asia’s Got Talent, Yaashwin Sarawanan atau lebih dikenali sebagai ‘Manusia Kalkulator’ mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi.

Mereka adalah antara nama yang membuatkan seluruh rakyat Malaysia berkongsi satu perasaan yang sama iaitu ‘bangga’.

Boleh dikatakan, seluruh negara lebih-lebih lagi golongan belia tanpa mengira batasan kaum dan agama, menzahirkan sokongan dan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka atas kejayaan serta kecemerlangan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Lihat sahaja di media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram, rata-rata rakyat Malaysia terutamanya golongan belia bersatu hati memberi semangat, dorongan serta turut sama meraikan kejayaan ketiga-tiganya.

Walaupun masing-masing dalam lapangan yang berbeza namun masih menjulang jenama yang satu iaitu Malaysia!

Nilai kebersamaan

“Dalam sedar atau tidak, nilai kebersamaan antara belia di Malaysia hakikatnya wujud sejak sekian lama dan ia menjadi penyumbang kepada kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Belia bukan sahaja saling menyokong dan mempunyai jati diri Malaysia dalam diri masing-masing, bahkan berganding bahu menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping sedia menghulur bantuan kepada yang memerlukan,” demikian menurut Dr Mohd Mahadee Ismail, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut beliau berkata, belia termasuk golongan pelajar serta mahasiswa hakikatnya banyak ‘berkongsi’ perkara dan matlamat yang sama meskipun diterjemah melalui pelbagai cara yang berbeza.

“Tanpa mengira bangsa dan agama, mereka bergabung dalam satu pasukan, prihatin dengan isu masyarakat dan berlumba-lumba menghulur bantuan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Mahasiswa UPM sendiri sebagai contoh bekerjasama dengan beberapa NGO dalam mengagihkan bungkusan makanan kepada golongan gelandangan di ibu negara.

“Adakalanya mereka ‘turun padang’ mendapatkan sumbangan. Walaupun tidak mampu menyelesaikan masalah, tetapi melalui inisiatif sebegitu mereka sekurang-kurangnya membantu meringankan beban masyarakat serta membawa suara mereka ke pihak yang berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Toleransi tinggi

Mohd Mahadee seterusnya berkongsi kajian beliau berkaitan sosialisasi politik, etos nasional dan pembinaan negara bangsa dalam kalangan belia yang mendapati, 70 peratus belia di negara ini menunjukkan tahap toleransi yang tinggi dalam hubungan antara kaum.

Dalam hal yang mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak, sebagai contoh, pelajar bukan dari etnik Melayu dan Islam turut sama berdiam apabila pensyarah berhenti mengajar seketika tatkala mendengar azan dilaungkan.

Mereka juga antara lain menyatakan kesediaan untuk menziarahi rakan dari kumpulan etnik berbeza yang ditimpa musibah atau jatuh sakit.

“Kajian itu turut mendapati lebih 80 peratus belia daripada kumpulan kaum dan etnik berbeza menyatakan mereka bersedia memberi komitmen demi memenuhi keperluan dan kepentingan negara manakala lebih 85 peratus menyatakan mereka berkongsi masa depan yang sama dengan kumpulan belia berlainan kaum dan etnik.

“Melihat kepada perkara itu, saya boleh katakan bahawa ‘etos nasional’ telah terbina dalam diri belia hari ini khususnya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Telah lahir ‘rasa kekitaan bersama’ dalam diri setiap mereka,” katanya.

Meskipun ada yang mempertikaikan tindakan belia yang sering kali dilihat selesa berkawan dan bergaul dengan rakan daripada kaum dan etnik yang sama, Mohd Mahadee berkata masih ramai yang bersikap lebih terbuka untuk berkawan dengan kumpulan yang berbeza.

“Itu lumrah. Perkara itu tidak bermakna mereka tidak boleh berkawan mahupun bekerjasama. Apabila pensyarah memberi tugasan yang perlu diselesaikan melalui gabungan pelajar daripada kumpulan pelbagai etnik, mereka boleh bekerjasama bahkan mampu menghasillkan sesuatu yang lebih baik daripada jangkaan.

“Begitu juga di tempat kerja. Rata-rata golongan belia tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan rakan dari kumpulan berbeza bangsa dan etnik. Jika ada pun (masalah) ia hanyalah isu terpencil,” katanya.

Selain terbuka menerima kepelbagaian yang wujud serta berkongsi ‘jenama Anak Malaysia’, golongan belia turut memahami konsep ‘penerimaan dan pengiktirafan’ (acceptance and recognition) sekaligus menjadikan perpaduan etnik sebagai kunci utama kemakmuran negara.

Tiga isu utama

Tidak menolak masih terdapat beberapa perkara yang adakalanya menggugat perpaduan belia ditambah dengan pengaruh jahat yang berniat memecahbelahkan masyarakat, beliau berkata trend politik perkauman, pengaruh media sosial serta sistem pendidikan asas negara antara tiga perkara pokok yang perlu diberi perhatian.

“Mutakhir ini kita lihat politik perkauman terus dimainkan oleh pihak tertentu bagi mencapai kepentingan politik mereka. Isu-isu sensitif yang menyentuh soal kepentingan dan hak kumpulan etnik ‘dipanaskan’ di samping wujud pelbagai bentuk provokasi mendakwa sensitiviti sesetengah etnik tidak dijaga dan dihormati.

“Perkara kecil diperbesarkan. Ini bukan sahaja boleh memecahbelahkan perpaduan yang wujud selama ini bahkan menimbulkan kebencian kaum, “ tegas Mohd Mahadee.

Menurut beliau, politik perkauman boleh menjadi barah yang sukar dikawal dan dijadikan ‘senjata sulit’ dalam meraih simpati rakyat khususnya kumpulan etnik tertentu.

Justeru katanya, semua pihak perlu sedar dan mengambil inisiatif bagi mengurangkan politik polarisasi kaum.

Turut menyifatkan media sosial sebagai trend semasa yang sukar dikawal, beliau berkata ia bukan sahaja boleh menularkan perkara yang tidak pasti kesahihannya, bahkan ada yang menyalahgunakannya untuk menyebar mesej kebencian, fitnah dan mengundang suasana tegang dalam masyarakat.

“Ini amat membimbangkan lebih-lebih lagi dalam usaha negara mengekalkan keharmonian kaum. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu mengambil tindakan yang lebih pantas dalam menangani situasi ini di samping ibu bapa, guru, pensyarah, rakan sebaya dan seluruh masyarakat perlu memainkan peranan mereka.

“Sistem pendidikan asas negara yang masih terpisah dan terasing turut mempunyai implikasi. Pendidikan asas negara sepatutnya disatukan lebih awal sebagai medium utama untuk memupuk perpaduan dan integrasi antara kumpulan etnik. Ibarat pesanan orang tua, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,” katanya.

Kongsi pentas

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, lebih banyak ruang dan peluang boleh disediakan untuk golongan belia bertemu, berinteraksi dan menjalin kerjasama.

Menurut beliau, acara sukan, kebudayaan, dialog antara agama dan peradaban serta pertandingan debat dan pidato yang dijalankan di peringkat sekolah dan IPT sebagai contoh membolehkan belia berkongsi pentas yang sama walaupun daripada latar belakang berbeza.

“Penganjuran program melibatkan belia pelbagai kaum seperti yang dianjurkan MBM dan Friendship Group For Interfaith Services (FGIS) amat digalakkan. Antara program yang dijalankan termasuklah khidmat sosial bagi membantu mangsa banjir yang digerakkan oleh ketua pelbagai agama.

“Belia juga boleh berkongsi mesej kepada seluruh rakyat Malaysia melalui pelbagai platform yang ada bahawa mereka mahukan perpaduan dan kestabilan, “ katanya.

Beliau memberi contoh, MBM baru-baru ini melancarkan satu logo khas ‘Youth For Unity’ (Belia Untuk Perpaduan) bagi tujuan memupuk perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum di Malaysia.

Logo itu antara lain membawa maksud anak muda sebagai medium perpaduan semua kaum di Malaysia.

Turut berpendapat belia sebagai penentu masa depan negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selepas pindaan had umur mengundi 18 tahun, beliau berkata kestabilan negara amat bergantung kepada hubungan belia yang utuh.

“Usah dilayan elemen yang ingin memecahbelahkan kerana jika belia berpecah negara akan lemah dan mengakibatkan kestabilan dan nilai kemakmuran hilang,” katanya sambil menambah belia perlu berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan bersatu menjayakan agenda perpaduan.

Asimilasi budaya

Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri yang turut berkongsi pandangan berkata, golongan belia perlu lebih terbuka untuk belajar mengasimilasi budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

Melalui kaedah itu, katanya, setiap rakyat akan lebih mengenali, menghormati sekaligus menghargai keunikan yang ada pada Malaysia.

“Belia perlu menolak titik perbezaan dan bersatu atas satu titik persamaan. Belia juga perlu bersifat tidak mementingkan diri jauh sekali ‘etnosentrisme’.

“Setiap perbezaan harus ditangani dengan cara penuh berhikmah demi keamanan, kedamaian dan kesejahteraan negara. Belia pada masa sama wajar mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan,” katanya sambil menambah perpecahan hanya akan memberi kemudaratan kepada generasi akan datang.

Pihak terlibat perlu mengambil langkah sewajarnya bagi terus meningkatkan perpaduan belia berbilang kaum di negara ini.

Tegas beliau, sekiranya konsep perpaduan tidak dihayati, kemajuan dan pembangunan negara pada masa hadapan akan menjadi sukar untuk dilaksanakan.

– BERNAMA


Pengarang :