AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buat kajian berkala pastikan program pengajian relevan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Universiti Awam perlu buat kajian berkala bagi memastikan program yang ditawarkan masih relevan serta mengikut perkembangan dan pasaran pekerjaan semasa, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, kajian itu penting bagi memastikan universiti-universiti awam di negara ini dapat melahirkan graduan yang bertauliah dan bekerjaya.

“Kalau kebolehpasaran rendah, maksudnya program itu harus ditambahbaik atau tidak sesuai lagi dan ini adalah `common exercise’ tetapi program yang terlibat saya tidak ada maklumat lagi.

“Kita perlu pastikan graduan yang kita hasilkan mempunyai kebolehpasaran yang bagus,” katanya ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar hari ini yang menyatakan bahawa Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menggugurkan 38 program akademik di 19 universiti awam di seluruh negara.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia ke-20 di Kompleks Seri Bintang, di sini.

Sementara itu, Nie Ching berkata, Projek Rintis Program Imersif Tinggi (HIP) akan dibentang kepada pengurusan tertinggi kementerian pada akhir bulan Oktober bagi memaklumkan keberkesanan pelaksanaan projek ini di sekolah serta status peluasan Projek HIP bagi tahun 2020.

HIP, program di bawah inisiatif yang dipanggil ‘Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ untuk mewujudkan persekitaran bahasa Inggeris di sekolah mula diperkenalkan pada bulan Jun hingga September melibatkan 28 guru dan pensyarah bahasa Inggeris yang telah bersara untuk berkhidmat secara sukarela.

Terdahulu pada program itu, empat sekolah Kompleks Seri Bintang iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara terpilih untuk menerima pek Sumbangan Makanan Berkhasiat daripada Dutch Lady, Yakult dan Yogood sepanjang bulan depan.

Setiap tahun pada hari Rabu minggu terakhir bulan September, sekolah-sekolah di serata dunia meraikan Hari Susu Sekolah Sedunia.

– BERNAMA


Pengarang :