Pemandangan matahari kemerahan akibat jerebu di Jalan Sri Aman – Lingga yang dirakam pada 18 September 2019. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Cari penyelesaian isu jerebu

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Pembangunan kaedah pertanian tanpa pembakaran terbuka serta penguatkuasaan undang-undang serantau adalah dua aspek utama yang perlu diberi fokus dalam menyelesaikan masalah jerebu yang hampir saban tahun membelenggu rantau ini.

Pakar pencemaran udara dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Talib Latif berkata, jerebu akan berulang setiap tahun pada musim cuaca panas terutamanya antara bulan Jun dan September, berikutan pembakaran terbuka untuk pertanian yang dijalankan setiap tahun.

Jerebu teruk yang sedang melanda rantau ini termasuk Malaysia dan Singapura dilaporkan berpunca daripada pembakaran hutan yang berleluasa di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada Sabtu 21 September lalu, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan terdapat peningkatan titik panas dikesan di Sumatera iaitu 777 manakala titik panas dikesan di Kalimantan meningkat kepada 363.

Alpa

Masalah jerebu seperti ‘dilupakan’ dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan berlakunya fenomena La Nina yang membawa hujan lebat selepas El Nino pada 2015.

Penguatkuasaan undang-undang serantau yang seragam perlu dilaksanakan secara tegas kepada individu dan syarikat perladangan yang menjalankan aktiviti pembakaran di kawasan sensitif.

Menurut Mohd Talib yang juga Dekan Siswazah, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, dua tahun selepas berlaku El-Nino, iaitu pada 2016 dan 2017, fenomena La Nina mengakibatkan jumlah tinggi hujan yang menyebabkan proses pembakaran sukar merebak dengan cepat khususnya di kawasan tanah gambut.

Pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 memakai penutup hidung dan mulut di Sekolah Kebangsaan Jalan Ong Tiang Swee Kuching pada 10 September 2019. Foto BERNAMA

Kealpaan ini mengakibatkan kegagalan pihak tertentu dalam menjalankan langkah yang perlu untuk mencegah atau sekurang-kurangnya mengawal pembakaran terbuka dengan lebih baik, yang dilaporkan sudah bermula awal tahun lagi.

Suhu tinggi dan berangin menyebabkan pembakaran merebak dengan pantas dan sukar dikawal.

Beliau menegaskan langkah utama sepatutnya ialah kawalan pembakaran pada musim panas.

“Ia sepatutnya bermula setiap kali musim panas tiba serta bermulanya penghasilan titik panas yang dapat dilihat melalui pelbagai imej satelit.

Jerebu mengandungi zarah atau partikel halus yang mengandungi bahan organik dan bukan organik yang tinggi yang membahayakan kesihatan.

“Langkah awal pengawalan pembakaran boleh menghalang pembakaran berlaku dan merebak ke kawasan yang lebih luas,” katanya ketika diminta mengulas jerebu teruk yang sedang melanda negara ini.

Menurut beliau lagi, langkah ini seharusnya dijalankan dengan memberi maklumat pengetahuan dan pendidikan kepada para petani dan syarikat perladangan khususnya di kawasan yang sering terlibat dengan pembakaran terbuka.

Pembakaran terbuka berlaku setiap tahun

Fenomena jerebu paling teruk melanda rantau Asia Tenggara termasuk di negara ini ialah pada tahun 1997 dan 2015 menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat dan yang terburuk dalam sejarah negara.

Jerebu mengandungi zarah atau partikel halus yang mengandungi bahan organik dan bukan organik yang tinggi yang berbahaya kepada kesihatan, antara sebatian hidrokarbon poliaromatik dan logam seperti plumbum, kromium, kadmium, zink dan ferum.

Jerebu bukan sahaja menyebabkan peningkatan kes penyakit berkaitan sistem pernafasan malah mengakibatkan negara terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.

Kebakaran tanah pertanian di Kampar, wilayah Riau di Kepulauan Sumatra yang dirakamkan pada 16 September 2019. Foto AFP

Misalnya pada 2015, Indonesia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM140 bilion sementara Singapura pula dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM2.4 bilion dalam tempoh masa yang sama.

Pada 1997, jerebu teruk yang melanda rantau ini selama tiga bulan turut menyebabkan Malaysia menanggung kerugian yang dilaporkan sekitar RM901 juta, terutamanya sektor pelancongan.

Beberapa punca jerebu yang dikenal pasti ialah pembakaran terbuka berkaitan pertanian dari negara jiran, pembakaran hutan, serta pembebasan asap oleh kilang dan kenderaan.

Perkenal teknik pertanian baharu

Sehingga kini, menurut Mohd Talib, proses pembakaran di tanah gambut menjadi satu perkara yang rutin bagi tujuan penyuburan tanah, namun begitu katanya terdapat teknik terkini yang dijalankan bagi memastikan tanah pertanian dan hutan tidak dibakar.

Bahan biojisim di tanah gambut menurutnya dikenal pasti sebagai satu sumber tenaga alternatif, justeru pembangunan bidang ini perlu dipergiat bagi membantu para petani.

Biojisim dihasilkan daripada sisa berpunca daripada proses pertanian seperti pembersihan ladang, penanaman, penuaian tanah dan penanaman semula.

Selain itu, pembangunan teknologi biochar juga dilihat dapat mengurangkan pembakaran terbuka untuk pertanian.

Biochar adalah arang hitam yang terhasil daripada pembakaran sisa organik pertanian, penternakan dan perhutanan yang berupaya menambah baik kualiti tanah melalui aplikasi bahan itu ke atas tanah.

Penghasilan biochar menerusi teknologi tertentu yang efektif dilihat mampu mengurangkan pembakaran sisa pertanian secara terbuka.

Penguatkuasaan undang-undang

Bagaimanapun, Mohd Talib mengakui isu jerebu yang berlaku sekarang lebih kepada isu pembakaran yang tidak terkawal yang menyebabkan ia sukar dipadamkan.

Justeru, langkah seterusnya ialah penguatkuasaan undang-undang serantau yang seragam dan dilaksanakan secara tegas kepada individu dan syarikat perladangan yang menjalankan aktiviti pembakaran di kawasan sensitif.

Beliau berkata, selain melaksanakan kempen dan proses pengawalan aktiviti pembakaran dengan lebih ketat, kerjasama serantau juga mestilah meliputi penyelidikan bersama, penggunaan sistem pemantauan serta indeks kualiti udara yang seragam.

“Ini perlu dilakukan secara bersama (oleh negara-negara ASEAN) bagi mengawal pembakaran yang boleh menyebabkan jerebu merentasi sempadan ini,” katanya.

Pelaksanaan undang-undang merentas sempadan itu baru-baru ini dibangkitkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin yang membuat kenyataan bahawa kementeriannya hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi membuat deraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Laporan Bernama sebelum ini melaporkan, dalam merangka Akta Jerebu Rentas Sempadan, Malaysia disaran mengikut contoh Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) 1977 Amerika Syarikat, apabila negara itu mengamalkan penguatkuasaan secara bidang kuasa luar sempadan.

Pakar Undang-Undang Alam Sekitar UKM Dr Hanim Kamaruddin dipetik dalam laporan itu sebagai berkata akta itu misalnya boleh mensabit mana-mana syarikat induk yang berpangkalan di Amerika Syarikat atas jenayah rasuah yang dilakukan oleh anak syarikat di negara lain.

– BERNAMA


Pengarang :