Foto: Facebook Cheah Liek Hou
AGENDASUKANKINI

Cheah muncul juara di Kejohanan Para Thailand

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pemain perseorangan lelaki badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou menamatkan kemarau 16 bulan tanpa gelaran juara, selepas memenangi dua kejuaran kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas badan) di Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Thailand di Bangkok, hari ini.

Pemain berumur 31 tahun yang pernah memenangi 11 kejuaraan dunia, yakni enam perseorangan lelaki dan lima beregu lelaki, mempamerkan kehebatannya dengan menumpaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan; 21-14 dan 21-17 dalam saingan perseorangan lelaki di Huamark Indoor Stadium, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Cheah yang berpasangan dengan Ahmad Azri Mohd Faris kemudiannya muncul juara sekali lagi selepas menewaskan pasangan Watcharaphon Chok-Uthaikul-Pricha Somsiri dari Thailand dengan straight-set 21-14 dan 21-14.

Untuk rekod kali terakhir pasangan nombor empat dunia itu meraih gelaran juara adalah di Kejohanan Antarabangsa Uganda 2018 pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita paralimpik negara, Yanti Aspar, bagaimanapun gagal mengikuti jejak langkah kecemerlangan Cheah, selepas ditumpaskan oleh pemain pilihan kedua, Chai Saeyang dari Korea Selatan dengan 5-21 dan 8-21.

– BERNAMA


Pengarang :