EXCOSELANGOR

EXCO: Teroka perniagaan, gandakan usaha

SHAH ALAM, 15 SEPT: Usahawan kecil perlu kreatif dalam menerokai peluang perniagaan sekali gus menggandakan usaha dan tidak hanya fokus terhadap satu-satu bentuk perusahaan sahaja.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, usahawan kecil itu perlu pandai memainkan peranan dalam merebut peluang disediakan Kerajaan Negeri.

Katanya, golongan berkaitan dinasihatkan tidak hanya meniaga secara ‘statik’ tanpa melakukan perubahan sebaliknya perlu keluar daripada zon selesa.

“Saya ingin menasihatkan usahawan kecil ini untuk cuba menerokai peluang yang ada, sebagai contoh mempromosikan produk secara atas talian dan lama kelamaan sudah pasti ramai yang mengenali produk kita.

“Selain itu, anda semua dinasihatkan juga ambil peluang untuk mencuba teknologi baharu seperti pembuatan produk sejuk beku terutama kepada usahawan produk makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) peringkat Hulu Selangor di Oasis Street Mall, Batang Kali di sini, semalam.

Sementara itu, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri bercadang membawa kelainan kepada MEXUS dengan menampilkan program anugerah usahawan peringkat daerah di Selangor.

Katanya, apabila wujudnya platform anugerah ia sudah pasti memberi semangat kepada usahawan kecil di Selangor untuk terus berusaha memajukan perniagaan mereka.

“Kita akan menilai usahawan kecil ini dan jika ada antara mereka mempunyai semangat dan berpotensi memajukan diri serta mengambil peluang disediakan Kerajaan Negeri, mereka akan diberikan anugerah terbabit.

“Jika seseorang usahawan itu mahu berjaya sudah pasti perlu ada impian namun impian sahaja tidak cukup sekiranya mereka tidak berusaha,” katanya.

Terdahulu, Hulu Selangor menjadi daerah keempat terpilih sebagai lokasi jelajah MEXUS selepas Sabak Bernam dengan bertemakan pembuatan bakeri.


Pengarang :