Amirudin Shari bersama penerjun yang mengambil bahagian dalam Gua Damai International Base Jump 2019, Batu Caves pada 15 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Gua Damai tumpuan penggiat sukan ‘Base Jump’ antarabangsa

BATU CAVES, 15 SEPT: Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, sering menggamit tumpuan penggemar sukan terjun udara dari serata dunia untuk menyertai acara ‘Gua Damai International Base Jumping’ yang dianjurkan pada September setiap tahun.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, taman berkeluasan dua hektar dengan ketinggian 96 meter itu menjadi hab utama kepada penggiat sukan lasak untuk menjalani sesi latihan sebelum beraksi pada mana-mana pertandingan berprestij.

“Kita berbangga dengan keadaan di sini memandangkan jika dilihat dari 2008 hingga sekarang, banyak perubahan dibuat menerusi dana diberikan Kementerian Pelancongan.

“Malah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak ketinggalan untuk memastikan Gua Damai sentiasa diselenggara dan ditambah baik termasuk mengindahkan serta mencantikkan ia sebagai salah satu tarikan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Gua Damai International Base Jump 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Johari Ahmad serta Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abdul Rahim.

Amirudin Shari menyantuni penerjun yang mengambil bahagian dalam Gua Damai International Base Jump 2019, Batu Caves pada 15 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Terdahulu, acara tahunan edisi ke-12 itu menerima penyertaan seramai 24 peserta meliputi lapan negara yang melakukan terjunan secara bebas daripada platform antaranya Indonesia, Poland, New Zealand, Estonia, Australia, Amerika Syarikat, Belanda termasuk Malaysia.

Program di bawah kelolaan MPS turut diperhebatkan menerusi kerjasama Wira Adventure Consultant, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan Majlis Perwakilan Penduduk Kampung (MPPK) Taman Ekstrem Wira Damai.

Siri terjunan di Gua Damai adalah sebagai aktiviti pemanas badan sebelum penganjuran acara KL Tower International Base Jump di Menara Kuala Lumpur, pada 26 September ini.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata, kawasan sekitar yang dijaga dengan baik mendorong kedatangan lebih ramai pengunjung terutama pelancong asing untuk merasai sendiri pengalaman sukan lasak disediakan di taman berkenaan.

Katanya, terdapat lima gua yang mengelilingi taman ekstrem itu antaranya Gua Kristal, Gua Anjing, Gua Chili Padi, Gua Ichibawa dan Gua Fig Tree.

“Jika di negara lain, mereka ada pengangkutan khas untuk membawa peserta ke atas, tetapi di Gua Damai mereka perlu memanjat untuk sampai ke landasan (base jump) yang mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit.

“Setiap hujung minggu ramai pengunjung datang untuk menyertai ‘rock climbing’ dan meneroka gua yang dijalankan Wira Adventure Consultant membabitkan penyertaan orang muda serta penggiat sukan lasak di negara ini,” katanya.

Selain Base Jump, aktiviti menarik lain ditawarkan di Taman Ekstrem Gua Damai ialah mendaki dinding batu kapur, ‘zip line’ atau flying fox, jelajah hutan, abseiling dan trex BMXU.


Pengarang :