BERITA UTAMA SELANGOR

IPU di Selangor memburuk, Johan Setia ‘sangat tidak sihat’

SHAH ALAM, 16 SEPT: Tahap kualiti udara di Selangor khususnya Johan Setia, Klang semakin memburuk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan peningkatan kepada 208 pada jam 9 pagi, hari ini.

Berdasarkan laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), keadaan itu sekali gus meletakkan kawasan berkaitan berada pada tahap sangat tidak sihat.

Sementara itu, empat lokasi lain di negeri ini pula mencatatkan kualiti udara tidak sihat iaitu Petaling Jaya (146), Shah Alam (155), Klang (138) dan Banting (161).

Bagi negeri lain, Putrajaya turut mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu pada tahap 203 dan keadaan sama menimpa Sarawak iaitu Sri Aman (217), Samarahan (223) dan Kuching (248).

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.


Pengarang :