Kediaman penduduk di kawasan rizab Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina secara tidak sah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Khairuddin: Isu Sungai Kedondong dimanipulasi pemimpin pembangkang

BANGI, 22 SEPT: Operasi perobohan struktur yang turut membabitkan beberapa kediaman di pinggir Sungai Kedondong sengaja dimanipulasi pihak tertentu demi meraih kepentingan politik mereka, kata Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Katanya, perkara itu dapat dilihat berikutan beberapa pemimpin pembangkang dari luar kawasan mula datang menunjukkan muka di Paya Jaras.

“Bagi saya mereka ketandusan idea sebab itu pemimpin pembangkang yang jauh luar kawasan Paya Jaras pun tiba-tiba datang.

“Bagaimanapun, kehadiran mereka yang ramai ini membuka mata rakyat bahawa isu ini sengaja dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Kejohonan Badminton Beregu, Pesta Sukan Gen-S Penggiat Belia Tempatan Majlis Perbandaran Kajang di Dewan Badminton Uptown Sport Bangi di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri memberi keutamaan untuk mengatasi kejadian banjir yang kerap melanda rumah penduduk membabitkan empat kampung di Paya Jaras dan Merbau Sempak.

Katanya, sebelum operasi penguatkuasaan dilaksanakan, Kerajaan Negeri sudah memberi masa secukupnya untuk penghuni kediaman haram terbabit mengosongkan kediaman masing-masing.

Selain kerap mengadakan perbincangan sejak 2015, Kerajaan Negeri juga mematuhi posedur yang ditetapkan dengan mengeluarkan notis dan langkah lain yang perlu.

Struktur Sungai Kedondong yang telah dilebarkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita tiada pilihan, sampai bila penduduk kampung nak berhadapan kejadian banjir disebabkan projek tebatan banjir tak dapat diteruskan berikutan penduduk di rizab sungai enggan berpindah,” katanya.

Pada 18 September lalu, PDT dengan kerjasama polis dan agensi lain menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Operasi meroboh 45 struktur termasuk kediaman hanya melibatkan plot C dan D, sementara plot A dan B belum dijalankan.

Aliran Sungai Kedondong bertemu Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Projek tebatan banjir ini sudah tertangguh bertahun-tahun akibat keengganan penduduk di tanah rizab sungai berpindah, selain proses rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Negeri sejak 2015.

Susulan kelewatan itu, Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit, selain bencana banjir terus melanda penduduk empat kawasan berdekatan, Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain menghormati hasrat pemilik berhubung UPSR, PDT berkata, mereka juga ditawarkan kemudahan memilik kediaman bawah projek Rumah Selangorku.


Pengarang :