Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) meraikan jaringan gol pertama pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2030 menentang Emiriyah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Malaysia tewas 1-2 kepada UAE

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Penyerang Ali Ahmed Mabkhout memusnahkan impian skuad Harimau Malaya selepas dua jaringannya membantu pasukan UAE mencipta kemenangan tersebut.

Keputusan itu sekali gus meletakkan skuad negara kekal dengan tiga mata dan menduduki tangga kedua Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Thailand kini mendahului Kumpulan G selepas menghimpun empat mata susulan kejayaan membenam Indonesia, 3-0 pada aksi di Gelora Bung Karno, Jakarta yang juga berlangsung malam tadi.

Sementara itu, bahang perlawanan di Stadium Nasional itu turut dirasai di Istana Negara apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meluangkan masa menyaksikan perlawanan tersebut.

Al-Sultan Abdullah menyaksikan perlawanan tersebut bersama kira-kira 600 tetamu yang hadir pada Majlis Santapan Malam Terima Kasih bersama petugas yang terlibat dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Turut menyaksikan perlawanan itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tetamu pada malam itu turut menerima ‘hadiah istimewa’ daripada Tunku Azizah yang berkenan menyanyikan lagu ‘Kasih’ yang dipopularkan oleh penyanyi Hetty Koes Endang.

Pada aksi pertama kempen kelayakan itu, Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada Khamis lepas.


Pengarang :