Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin diapit Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika majlis penyampaian hadiah di 3 Damansara Shopping Mall.Foto SHEKHINAH PR SDN BHD
AGENDASUKANKINI

Mior Muhammad Hafiz juara eRacing Grand Prix SEA Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 2 SEPT: Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin, muncul juara sulung Kejohanan eRacing Grand Prix SEA Kuala Lumpur selepas mengenepikan saingan 11 lagi peserta, semalam.

Beliau berjaya mengumpul 195 mata menewaskan Muhamad Uzair di tempat kedua dengan 170 mata dan pemenang tempat ketiga, Amir Haziq yang mengutip 122 mata dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Pusat membeli Belah 3 Damansara.

Mengulas persembahannya, Mior Muhammad Hafiz, 31, berkata beliau tidak menyasarkan untuk menjadi juara tetapi tetap berusaha bersungguh-sungguh sejak pusingan separuh akhir.

“Saya banyak mengadakan latihan sejak pusingan separuh akhir lalu. Malah, saya juga kerap bermain permainan ini bersama rakan untuk membolehkan saya mendapatkan rentak pemanduan baik menjelang pusingan akhir ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Alex Yoong kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya dan peserta lain berhubung pengendalian jentera ketika berlumba di atas litar,” katanya.

Selaku juara, Mior Muhammad Hafiz membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta telefon bimbit RAZER dan baucar RM100 dari JD Sports, sementara tempat kedua dan ketiga menerima hadiah sumbangan RAZER dan JD Sports serta wang tunai masing-masing bernilai RM4,000 dan RM3,000.

Dalam saingan membabitkan tujuh perlumbaan itu, seramai 15 peserta berentap pada 31 Ogos lalu, manakala 12 peserta beraksi pada 1 September di pelbagai litar antarabangsa seperti Circuit De Barcelona, Autodromo De Interlagos, Autopolis dan Fuji International Circuit.

Dengan tujuan mentransformasikan pelumba alam maya menjadi jaguh di litar sebenar, eRacing Grand Prix yang diperkenalkan di Hong Kong tahun lalu turut mendapat sambutan positif di Malaysia hasil usaha bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong


Pengarang :