AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Nilai tuntutan TTPM dinaik ke RM50,000

PUTRAJAYA, 24 SEPT: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dijangka menerima lebih banyak aduan selepas Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 (Pindaan) 2019 berkuat kuasa 1 Oktober ini, yang antara pindaannya melibatkan peningkatan had nilai tuntutan kepada RM50,000 daripada RM25,000 sebelum ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz berkata, pelaksanaan akta itu akan memperkasakan hak pengguna seiring peningkatan kuasa beli rakyat selain memastikan peranan TTPM kekal relevan apabila mendepani isu pertikaian dan tuntutan kepenggunaan yang semakin kompleks.

“Perkembangan ekonomi yang pesat menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat serta melebihi RM25,000 seperti pembelian kereta, motosikal dan pengubahsuaian rumah, yang sebelum pindaan akta menyebabkan pengguna hilang kelayakan membawa kes ke TTPM untuk diadili.

“Bilangan aduan akan terus bertambah dan kementerian telah bersedia sepenuhnya dari segi logistik dan penugasan kakitangan bagi menangani aduan yang diterima,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Pindaan) 2019, di sini, hari ini.

Menurut Muez, TTPM dalam tempoh 2000 hingga Ogos lepas (2019) menerima pemfailan kes sebanyak 112,367, melibatkan nilai tuntutan RM286.2 juta dan nilai ganti rugi berjumlah RM132.6 juta serta sebahagian besarnya melibatkan kes pembelian kenderaan, ubah suai rumah dan urus niaga dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :