Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunjukkan keadaan Sungai Ichat yang tercemar akibat pencerobohan tanah ketika baginda melakukan tinjauan di Kuala Terla pada 7 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usaha bersih Sungai Ichat dihentikan kerana petani fail injunksi

KUANTAN, 9 SEPT: Usaha membersihkan Sungai Ichat di Cameron Highlands yang tercemar teruk akibat pencerobohan tanah haram telah dijalankan, namun terpaksa dihentikan tidak lama selepas ia dilakukan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara tindakan yang dilakukan ialah kerja penguatkuasaan yang bermula lewat Februari lepas, melibatkan kerja merobohkan struktur binaan dan tanaman di kawasan terlibat.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha itu terpaksa dihentikan ekoran tindakan segelintir petani terlibat memfailkan permohonan injunksi terhadap kerajaan negeri berhubung tindakan penguatkuasaan itu pada 3 April lepas.

“Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan penangguhan sementara operasi penguatkuasaan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri telah mengemukakan rayuan pada 11 April, berhubung perkara itu di mahkamah sama,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Wan Rosdy juga memaklumkan kerajaan negeri menjunjung kasih terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan dan menitahkan supaya aktiviti itu dihentikan, pada Sabtu lepas.

Ini kerana, pencerobohan kawasan tadahan air Kuala Terla adalah penyebab pencemaran teruk di Sungai Ichat sehingga menyebabkan air sungai itu tidak boleh disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla untuk diproses menjadi air terawat.

Keadaan itu menyebabkan LRA Kuala Terla yang berkapasiti antara 780 hingga 800 meter padu sejam bagi menampung 70 peratus keperluan air di Cameron Highlands hanya bergantung kepada Sungai Terla sebagai punca air.

“Bagaimanapun, Sungai Terla juga semakin berkurangan sumber airnya menyebabkan LRA Kuala Terla terpaksa memproses air di bawah kapasiti sebenar, iaitu antara 480 hingga 550 meter padu sejam.

“Walaupun perkara ini telah dinyatakan kepada petani, namun segelintir daripadanya menafikan hakikat dengan menidakkan kepentingan Sungai Ichat sebagai sumber air yang diperlukan untuk menghasilkan air terawat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :