AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sedia draf Akta Jerebu Rentas Sempadan – Bee Yin

SUBANG, 19 SEPT: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, perkara tersebut telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam dan sekiranya Kabinet bersetuju, kementeriannya akan segera bertindak bagi mewujudkan akta tersebut sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah jerebu di negara ini.

“Kementerian bersedia mendraf akta ini jika Kabinet putuskan terdapat keperluan menggubal akta itu.

“Akta ini adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara bukan sahaja di Indonesia tetapi di luar negara,” katanya kepada pemberita ketika melawat Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini.

Bee Yin berkata, antara undang-undang yang akan diperuntukkan dalam akta ini ialah kuasa untuk menghukum pihak-pihak dari Malaysia yang mempunyai ladang di luar negara yang menyebabkan jerebu supaya diadili di mahkamah Malaysia.

“Saya akan mendapatkan nasihat daripada peguam negara bagaimanakah kita boleh mendraf akta ini dan apakah yang kita boleh masukkan bagi menjadikan ia efektif untuk menangani isu jerebu,” katanya.

Bagaimanapun, Bee Yin berkata, walaupun akta tersebut diwujudkan, kerjasama serantau dan antarabangsa masih amat diperlukan bagi menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan.

Katanya sehubungan itu, komunikasi antara negara ASEAN adalah penting dan beliau menjelaskan akan terdapat satu telesidang antara beliau dan Setiausaha Agung ASEAN bagi mengutarakan pandangan supaya mekanisme efektif di peringkat ASEAN dapat dicapai untuk menangani jerebu dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, katanya operasi pembenihan awan pagi ini merupakan kali ketiga dilakukan setelah terdapat awan yang sesuai hari ini.

Operasi kali ini, katanya dijangka untuk mengurangkan kesan jerebu dan menurunkan indeks pencemaran udara di negeri-negeri bahagian utara.

Bee Yin berkata, jika keadaan awan sesuai, esok akan diadakan satu lagi operasi pembenihan awan bagi membantu menurunkan indeks pencemaran udara di negeri Sarawak.

“TUDM dan Jabatan Meteorologi sentiasa bersedia melakukan pembenihan awan bergantung pada keadaan awan, jika awan sesuai, pihak terlibat sentiasa bersedia untuk melakukan pembenihan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, operasi pembenihan awan merupakan antara penyelesaian sementara yang mampu dilakukan di samping komitmen kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah jerebu.

Operasi pembenihan awan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka kelmarin.

Hasil pembenihan tersebut, hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak, Seremban, Tampin, Jelebu, Alor Gajah dan Jasin.

Sehingga 12 tengah hari tadi, enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dalam bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Mukah menjadi lokasi terbaharu mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Mukah meningkat kepada 208 berbanding 197 pada 8 pagi tadi.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA


Pengarang :