Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyerahkan dana bantuan nafkah kepada peserta ketika Seminar Perdana Kesedaran, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah dan Sistem E – Locator di Shah Alam Convention Centre pada 17 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor sumbang RM100,000 bagi Dana Bantuan Nafkah

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 sebagai permulaan kepada Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Selangor bagi membantu wanita dan anak-anak yang diabai oleh suami atau bapa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dana itu bertujuan disalurkan kepada wanita dan anak-anak yang berada di bawah had kemampuan kifayah atau diabaikan tanggungjawab nafkah oleh suami atau bapa.

Katanya, dana itu bersifat bantuan khas wang sumbangan bagi membantu wanita dan anak terabai yang mengalami masalah nafkah selama tempoh enam bulan atau selepas kes yang difailkan di Mahkamah Syariah selesai.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari (kanan) ketika melancarkan Seminar Perdana Kesedaran, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah dan Sistem E – Locator di Shah Alam Convention Centre, pada 17 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Syarat untuk menerima dana ini, bekas isteri perlu memfailkan kes pelaksanaan dan penguatkuasaan nafkah terhadap pihak suami atau bapa yang tidak bertanggungjawab di Mahkamah Syariah itu terlebih dahulu.

“Dengan cara ini, saya percaya lebih ramai wanita dan anak yang teraniaya akan dapat dibantu dan mampu hadir ke Mahkamah Syariah untuk menuntut hak mereka.

“Malah, dengan dana ini ia sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos lain yang bersangkutan dengan pemfailan kes tuntutan nafkah atau kes penguatkuasaan nafkah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, dana itu sebagai permulaan namun pihaknya menyeru mana-mana badan korporat, syarikat swasta dan individu yang berkemampuan untuk bersama Kerajaan Negeri membantu menyalurkan sumbangan untuk dana terbabit.

“Anda semua digalakkan untuk menyalurkan sumbangan masing-masing kepada akaun Dana Bantuan Nafkah yang ditadbir Jawatankuasa Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor,” katanya.

Katanya, antara kriteria kelayakan untuk memohon dana terbabit ialah pemohon beragama Islam, tidak berkemampuan, bermastautin di Selangor dan mereka perlu memperoleh perintah daripada mana-mana Mahkamah Syariah di negeri ini.

“Manakala, mereka yang layak akan diberi bantuan minimum RM200 untuk seorang anak; RM300 (dua hingga tiga anak); RM400 (empat hingga lima anak) dan RM500 kepada enam anak dan ke atas,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 penerima awal dikenal pasti layak menerima Dana Bantuan Nafkah dengan jumlah keseluruhan RM36,000.


Pengarang :