Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

Mohon lucut hak RM700,000 dalam akaun UMNO Pekan

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menamakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 40 pihak lagi dalam permohonan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM700,000 yang disimpan dalam akaun bank atas nama UMNO Bahagian Pekan yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam permohonan itu, Pendakwa Raya yang merupakan pemohon menamakan 41 pihak sebagai responden. UMNO Bahagian Pekan dinamakan sebagai responden pertama manakala Najib responden keempat dan anaknya, Datuk Muhamed Nizar yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, sebagai responden kelapan.

Pendakwa Raya memfailkan notis usul dipinda berhubung permohonan lucut hak itu pada 4 September lalu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 30 Ogos lepas memerintahkan Pendakwa Raya meminda nama UMNO Bahagian Pekan kepada nama pemegang jawatan dalam notis berkenaan.

Sebelum ini Pendakwa Raya hanya menamakan UMNO Bahagian Pekan sebagai responden tunggal dalam notis usul itu.

UMNO Bahagian Pekan kemudiannya membantah notis usul itu atas alasan pendakwaan telah menamakan pihak yang salah dan memohon membatalkan notis usul lucut hak terhadap wang berkenaan yang dibekukan.

Mengikut notis usul terpinda itu, Pendakwa Raya memohon untuk melucut hak wang itu yang disimpan dalam akaun bank semasa CIMB Bank atas nama UMNO Bahagian Pekan dan semua faedah daripada simpanan itu kepada Kerajaan Malaysia.

Pemohon juga memohon untuk menyiarkan notis bagi memanggil mana-mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang itu untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai daripada SPRM untuk menyiarkan notis pihak ketika itu dalam tempoh dua bulan.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Antara responden yang hadir ke mahkamah hari ini ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pekan Sida Tantiana Sariat.

Najib, serta anaknya Muhamed Nizar dan beberapa responden lain bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini .

Peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili semua responden memohon supaya mahkamah menggantung prosiding pelucutan hak itu sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 30 Ogos lepas yang menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan, selaku responden tunggal untuk membatalkan notis lucut hak itu, selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

“Anak guam saya telah mengarahkan pihak kami supaya membuat permohonan menggantung prosiding lucut hak di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan peguam untuk merayu ke Mahkamah Rayuan tetapi membantah permohonan peguam untuk menggantung prosiding di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober untuk mendengar permohonan responden untuk menggantung prosiding dan 15 November bagi sebutan semula kes.

Dalam kes lain, Hakim Mohd Nazlan membenarkan perlucutan hak harta iaitu wang milik Yayasan Tun Rahah dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail diserah kepada Kerajaan Malaysia.

Prosiding itu dijalankan dalam kamar Hakim Mohd Nazlan dan peguam Amin Othman yang mewakili Yayasan itu dan Ibrahim selaku responden, memberitahu media bahawa jumlah wang yang terlibat tidak boleh didedahkan.

Pada 23 Ogos lepas, kedua-dua responden telah bersetuju harta itu dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan dan hari ini mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib.

– BERNAMA


Pengarang :