AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SPRM siasat dakwaan jual MyKad kepada warga China

KOTA KINABALU, 12 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan kes pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang baru-baru ini sekiranya mendapat maklumat yang jelas mengenai kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Beebi Koya berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.

“Kami belum terima apa-apa aduan secara rasmi…jadi kami sedang memerhatikannya, jika benar ada sindiket itu kita akan mulakan siasatan sebab kes berkenaan penjualan kad pengenalan atau kes pengeluaran kad pengenalan palsu bukan satu perkara yang baru.

“Buat masa ini kita belum menerima maklumat secara terus dan kita hanya mendapat maklumat itu melalui laporan berita sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah SPRM, Sabah Datuk Sazali Salbi.

Latheefa berkata, bagaimanapun SPRM tidak semestinya bergerak hanya atas maklumat rasmi.

“Jika kita dapat maklumat yang jelas (mengenai sesuatu kes) kita akan terus bergerak tanpa aduan.. tetapi cuma kini kita belum ada apa-apa maklumat jelas mengenai kes itu,” katanya.

Dalam operasi khas minggu lalu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Di Pulau Pinang,  semalam Bernama melaporkan seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu.

Selain pegawai JPN itu, polis turut menahan 19 lagi individu lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan perkara itu dan berkata, kesemua suspek yang berusia 32 hingga 70 tahun adalah  ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia (palsu).

– BERNAMA


Pengarang :