AGENSISELANGOR

YIDE edar topeng muka kepada pelajar PSRA

KLANG, 26 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) meneruskan aktiviti sosial kebajikannya dengan mengedarkan topeng muka kepada pelajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Udang yang kini sedang menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

Pegawai Hal Ehwal Kebajikannya, Muhammad Zubair Azizan berkata, seramai 279 calon PSRA menerima topeng muka itu berikutan kualiti udara yang berjerebu ketika ini.

“YIDE mengedarkan topeng muka ini kepada pelajar-pelajar di Tabika Kemas Bustanul Ah Lami 1 dan 2, Kampung Delek.

“Pengedaran penutup mulut ini adalah sebagai salah satu langkah awal menjaga kesihatan bagi menghadapi fenomena jerebu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, YIDE mengedarkan 1,000 keping topeng muka di sekitar Johan Setia dan 1,000 keping penutup mulut Seksyen 16, Shah Alam.

Muhammad Zubair berata, sebagai langkah menghadapi jerebu ini, YIDE berharap tindakan semasa jerebu yang di keluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, wajar dipatuhi demi mengelakkan kesihatan terganggu.

“Antara langkah yang wajar dipatuhi iaitu kurangkan aktiviti luar, elak pembakaran terbuka, kerap membasuh tangan, tidak merokok, menggunakan mode kitaran udara dalaman ketika memandu, perbanyakan minum air.

“YIDE juga akan terus mengedarkan penutup mulut ini kepada kawasan-kawasan yang teruk terjejas dari masa ke semasa,” katanya.


Pengarang :