Hasnul Baharuddin (dua, kiri) bersama penerima melihat barangan bantuan Program “Blueprint” Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor Peringkat Daerah Kuala Langat di Dewan Jubli Intan Banting, Kuala Langat pada 15 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

38 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan terima alatan perniagaan

BANTING, 15 OKT: Seramai 38 peserta dari daerah Kuala Langat menerima peralatan bagi memulakan perniagaan melalui program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin berkata, bantuan berjumlah RM209,200 membabitkan 44 peralatan perniagaan itu merangkumi motosikal roda tiga, mesin jahit, peralatan memasak, peti ais sejuk beku dan mesin cetak.

“Kita berharap penerima dapat memanfaatkan peralatan ini sebaiknya, sekali gus berusaha meningkatkan ekonomi keluarga dan mewujudkan kehidupan yang sejahtera.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan program ini yang boleh membantu golongan kurang bernasib baik menambah pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Selangor khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor peringkat Kuala Langat di Dewan Jubli Intan Kampung Olak Lempit Banting, di sini hari ini.

Pada masa sama, Hasnul berharap Kerajaan Negeri dapat memikirkan mekanisme untuk melaksanakan kursus bimbingan kepada penerima bagi meningkatkan ilmu keusahawanan dan urusan kewangan.

“Dengan cara begitu diharap penerima dapat menguruskan kewangan mereka secara lebih baik,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor yang dilancarkan sejak 2008 bertujuan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.

Peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan bagi menambah pendapatan disarankan supaya memohon bantuan itu di pejabat tanah berhampiran.


Pengarang :